BISNES
MCBA gesa perniagaan Malaysia rebut peluang pasaran Kemboja di sebalik gangguan bekalan

Yaw berkata walaupun terdapat konflik, asas pasaran Kemboja kekal kukuh dengan potensi pertumbuhan yang cerah. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Perniagaan Malaysia-Kemboja (MCBA) menggesa perniagaan Malaysia merebut peluang baharu di Kemboja berikutan gangguan rantaian bekalan disebabkan oleh situasi sempadan Kemboja-Thailand baru-baru ini.
MCBA berkata walaupun mencapai gencatan senjata, pengangkutan untuk penghantaran produk Thailand tertentu telah terganggu, rantaian bekalan ke Kemboja sama ada bergerak perlahan dengan ketara atau terhenti.
"Walaupun perkembangan ini telah mengganggu rantaian bekalan pasaran Kemboja, ia juga telah mewujudkan peluang pasaran baharu untuk komuniti perniagaan Malaysia.
"Kemboja kini mengalami kekurangan dalam barangan pengguna tertentu, produk makanan dan bahan mentah industri dan Malaysia mempunyai kelebihan jelas dari segi kualiti, harga dan kestabilan bekalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.Persatuan itu berkata semasa situasi seperti ini, sesetengah pelabur Thailand mungkin memilih untuk menarik diri daripada pasaran Kemboja seterusnya memberi peluang kepada perusahaan Malaysia.
Presiden MCBA Datuk Seri Ricky Yaw berkata walaupun terdapat konflik, asas pasaran Kemboja kekal kukuh dengan potensi pertumbuhan yang cerah.
"Perusahaan Malaysia dengan rantaian bekalan fleksibel mereka, liputan industri luas dan keupayaan respons pantas, berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang ini dan memperoleh kelebihan daya saing dalam pasaran serantau," katanya.
Beliau menggesa syarikat dan usahawan Malaysia untuk mengambil peluang daripada pasaran Kemboja ini dengan segera dan mengambil langkah proaktif dengan menawarkan bekalan alternatif dan mengisi jurang pasaran.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami