Median upah bulanan bagi pekerja formal meningkat kepada RM2,864 - DOSM

Median upah bulanan bagi 7.06 juta pekerja formal berjumlah RM2,864 pada September 2025, meningkat 4.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Median upah bulanan bagi 7.06 juta pekerja formal berjumlah RM2,864 pada September 2025, meningkat 4.3 peratus berbanding RM2,745 pada tahun sebelumnya, demikian menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Ketiga 2025 hari ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan memaklumkan peningkatan upah ini seiring dengan pertumbuhan guna tenaga yang stabil, apabila bilangan pekerja formal meningkat sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun pada Julai, Ogos dan September tahun lepas, sekali gus menunjukkan daya tahan berterusan pasaran buruh formal sepanjang suku tahun ketiga 2025.
Menurut laporan yang dikeluarkan DOSM itu, pekerja formal lelaki meliputi 55.1 peratus atau 3.89 juta orang daripada jumlah keseluruhan pekerja formal pada September 2025, dan mereka menerima median upah bulanan lebih tinggi, iaitu RM2,900 berbanding pekerja formal perempuan sebanyak RM2,800, yang merangkumi 44.9 peratus atau 3.17 juta orang.
DOSM memaklumkan statistik upah mengikut kumpulan umur pula menunjukkan bahawa pekerja formal berusia 45 hingga 49 tahun terus mencatat median upah bulanan tertinggi sepanjang suku ketiga tahun lepas, iaitu RM3,800.
"Pertumbuhan tertinggi direkodkan dalam kalangan pekerja formal berumur bawah 20 tahun dengan median upah bulanan mencapai RM1,700 pada September 2025, meningkat 13.3 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya," menurut kenyataan itu.
Menurut DOSM, semua sektor ekonomi mencatat peningkatan median upah bulanan bagi ketiga-tiga bulan pada suku tahun ketiga 2025.
Walaupun hanya menyumbang 0.6 peratus jumlah guna tenaga sektor formal, sektor perlombongan dan pengkuarian mengekalkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM6,600 pada September, merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 11.9 peratus, manakala sektor pertanian yang menyumbang 1.8 peratus daripada pekerja formal warganegara mencatat median upah bulanan terendah, iaitu RM2,245.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, menurut DOSM merekodkan median upah bulanan tertinggi, iaitu RM4,064, diikuti Selangor pada RM3,127 dan Pulau Pinang (RM2,9270), manakala median upah bulanan terendah direkodkan di Kelantan dan Perlis, masing-masing mencatat RM1,800 serta Sabah dan Kedah, iaitu RM2,000 bagi tempoh yang sama.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata 8.8 peratus daripada jumlah pekerja formal warganegara menerima upah bulanan bawah RM1,700 pada September 2025, berkurang sebanyak 13.5 mata peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
"Selain itu, analisis persentil menunjukkan bahawa 10 peratus pekerja formal Malaysia terendah menerima upah bulanan sebanyak RM1,700 atau kurang setiap bulan, manakala pekerja formal dalam persentil ke-90 menerima sekurang-kurangnya RM9,000 setiap bulan.
"Perbezaan ini menunjukkan bahawa pekerja pada persentil ke-90 menerima lima kali ganda upah daripada kumpulan upah terendah, menggambarkan jurang upah antara mereka yang berpendapatan tertinggi dan terendah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


