KUALA LUMPUR: Projek diluluskan pada 2025 telah mencatatkan kadar pelaksanaan sebanyak 62.2 peratus, seiring dengan kitaran pembangunan pada kebiasaannya mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
MIDA berkata Malaysia mencatatkan RM426.7 bilion pelaburan diluluskan pada 2025, tahap tertinggi setakat ini, meningkat 11 peratus daripada RM384.4 bilion pada 2024, mencerminkan pertumbuhan berterusan walaupun dalam persekitaran global yang bersikap berhati-hati.
Advertisement
Sementara itu, lebih daripada 90 peratus projek pembuatan diluluskan antara 2021 dan 2024 kini dalam dilaksanakan, kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini.
"Prestasi pelaburan Malaysia bukan sahaja diukur melalui kelulusan tetapi juga menerusi pelaksanaan.
"Platform strategik seperti Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI), Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP), dan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) terus memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar," katanya.
Menurut MIDA, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensinya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan persekutuan dan negeri untuk memudahkan dan memantau pelaksanaan projek.
"Antara 2021 dan 2025, NCI meluluskan 4,848 projek pembuatan, 84.9 peratus telah mencapai pelbagai peringkat pelaksanaan, bermula daripada pengeluaran hingga pembinaan kilang dan pemasangan jentera.
"Sementara itu, 12 peratus berada dalam fasa perancangan dengan memberi tumpuan kepada pemilihan tapak dan perundingan dengan pemaju," katanya.
MIDA berkata hanya 3.1 peratus daripada projek tersebut terbengkalai, sekali gus menunjukkan kadar realisasi projek Malaysia yang kukuh.
Semasa sidang media hari ini, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata bahawa projek-projek berkenaan telah pun bermula dan sedang berjalan.
Bagaimanapun, prosesnya, daripada pecah tanah (permulaan kerja-kerja di tapak) dan pembinaan kilang baharu hinggalah pembelian jentera dan permulaan operasi -- biasanya mengambil masa antara 12 dan 48 bulan.
"Memandangkan garis masa ini, sukar untuk mengukur nilai kemajuan dengan tepat atau memberikan angka yang pasti (dalam nilai ringgit) mengenai perkadaran pelaburan yang telah direalisasikan," katanya.
-- BERNAMA