KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan prospek pelaburan hijau sekitar RM4 bilion menerusi penyertaannya dalam Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2026, dengan tumpuan kepada peluang yang mampu diterjemahkan kepada projek sebenar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pendekatan tahun ini mengutamakan kualiti prospek, kebolehlaksanaan projek serta manfaat pelaburan terhadap pembangunan rantaian bekalan dan keupayaan syarikat tempatan.
“Tahun ini, kami menyasarkan sekitar RM4 bilion dalam prospek pelaburan, tetapi kami yakin dan optimis dapat melepasi sasaran itu berdasarkan jumlah aktiviti dan program yang berlangsung sempena IGEM tahun ini,” katanya dalam temu bual Niaga AWANI di Pavilion MIDA, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, sempena IGEM 2026 pada Khamis.
Menurutnya, minat pelabur kekal kukuh, khususnya dalam tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga dan penyahkarbonan, namun keutamaan MIDA ialah memastikan minat tersebut mempunyai laluan yang jelas untuk direalisasikan.
“Kami mengambil pendekatan yang lebih bersasar dengan memberi tumpuan kepada kualiti peluang, sama ada ia berdaya maju, boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan mempunyai laluan yang jelas untuk menjadi pelaburan sebenar.
“Perkara yang memberangsangkan ialah pelabur kini bukan sahaja bertanya tentang projek, tetapi juga mengenai pembekal tempatan dan bakal rakan kerjasama dari Malaysia,” tambahnya.
Sehubungan itu, MIDA memperkenalkan Program khusus Rantaian Bekalan Tenaga Boleh Baharu serta sesi padanan perniagaan buat pertama kali sempena IGEM tahun ini bagi memperluas hubungan antara pelabur, pemaju projek dan syarikat tempatan.
“Matlamatnya mudah, iaitu menghubungkan syarikat peneraju dengan perniagaan Malaysia dan membuka peluang untuk mereka menyertai perkhidmatan serta rantaian bekalan yang bernilai lebih tinggi,” jelasnya.
Sikh Shamsul berkata, pengembangan ekonomi hijau membuka peluang industri yang melangkaui pembangunan projek tenaga, termasuk kejuruteraan, perkhidmatan teknikal, pengurusan projek, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan, logistik serta penyelesaian digital.
Dalam sektor pembuatan pula, peluang melibatkan pengeluaran peralatan dan komponen seperti injap, perkakas suis serta sistem elektrik dan mekanikal yang menyokong pelaksanaan projek berkenaan.
Katanya, potensi pertumbuhan turut merangkumi kecekapan tenaga, mobiliti hijau, ekonomi kitaran dan penyahkarbonan industri, sekali gus menyediakan ruang kepada lebih banyak syarikat Malaysia menyertai peralihan tenaga.
Sebagai contoh, beliau berkata, Program Solar Berskala Besar Pusingan Keenam (LSS6) dengan kapasiti 2,650 megawatt membuka peluang sepanjang rantaian nilai, daripada kejuruteraan dan pembinaan kepada penyepaduan sistem, pembuatan serta perkhidmatan sokongan.
Tambahnya, kerangka Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut memperkukuh penyertaan tempatan melalui keutamaan kepada pembida yang menggunakan produk TBB seperti modul solar fotovoltaik yang dihasilkan secara domestik.
MIDA pula berperanan memudah cara pelaburan, menghubungkan pelabur dengan syarikat tempatan serta membantu perniagaan membina keupayaan untuk menyertai peluang yang bernilai lebih tinggi.
Usaha itu turut digerakkan menerusi inisiatif #InvestLokal dan program rantaian bekalan bagi memastikan pertumbuhan pelaburan disertai penglibatan lebih mendalam syarikat Malaysia.
“Prospek pelaburan hanyalah titik permulaan dan apa yang kami mahu lihat ialah minat itu diterjemahkan kepada projek sebenar, kerjasama serta peluang untuk syarikat Malaysia,” katanya.
Pelabur dan pemain industri juga boleh mendapatkan maklumat di Pavilion MIDA mengenai peluang pelaburan hijau serta insentif seperti Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Green Income Tax Exemption (GITE).
Dalam pada itu, Sikh Shamsul berkata, Malaysia mempunyai hala tuju dasar yang jelas menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Pelaburan Hijau.
Beliau turut memaklumkan bahawa MIDA menerapkan usaha kelestarian dalam operasinya sendiri, termasuk kerjasama dengan Daikin yang meningkatkan kecekapan sistem penyaman udara sebanyak 27 peratus serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida melebihi 2,100 tan, bersamaan dengan penyerapan karbon oleh 88,858 batang pokok hujan setahun. Inisiatif itu turut memperoleh Pensijilan Sustainable Refrigerant & Resources Recovery.
Katanya, kejayaan agenda pelaburan hijau akhirnya perlu dinilai melalui pengukuhan keupayaan industri tempatan, pembangunan teknologi dan peluang pekerjaan yang diwujudkan.
“Mesej kami jelas, Malaysia bersedia menerima pelaburan hijau yang berkualiti dan kami mahu syarikat Malaysia berkembang seiring dengannya.
“Bagi kami, matlamatnya ialah membina keupayaan tempatan yang lebih kukuh, rantaian bekalan yang lebih mendalam, lebih banyak teknologi dan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia,” katanya.
IGEM 2026 berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dengan Pavilion MIDA di Dewan 1 menyediakan ruang kepada pelabur dan pemain industri meneroka peluang serta kerjasama dalam ekonomi hijau.