Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangka ringgit akan mengukuh kepada RM3.80 berbanding dolar US dalam jangka sederhana.

Pengarah Eksekutif, Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, untuk ringgit kembali ke tahap nilai sederhana, akan bergantung kuat kepada harga minyak mentah.

"Jika anda lihat ringgit sekarang, ia terikat dengan harga minyak mentah.

"Jika harga minyak mentah boleh naik, mungkin tidak lebih US$100 setong, tetapi mungkin US$80 setong, ringgit boleh kembali ke paras berkenaan (3.80).

"Tetapi ini adalah apa yang kami ramal untuk jangka sederhana. Mungkin setahun atau setahun setengah lagi," katanya semasa taklimat mengenai Prospek Ekonomi Malaysia di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Zakariah berkata, ringgit tidak mungkin meningkat banyak sehingga akhir tahun berikutan kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

"Sehingga akhir tahun kami jangka ringgit akan kekal antara RM4.00 dan RM4.10," katanya.

Mata wang tempatan itu melepasi 'paras psikologi' RM3.80 berbanding dolar US pada 6 Julai 2015 dan mencatat nilai luaran terendah dalam tempoh 17 tahun pada RM4.4725 pada 29 September 2015.

Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar pagi ini pada 4.2740/2820 berbanding 4.2750/2850 pada Rabu.

Sementara itu, Zakariah berkata, Bank Negara Malaysia aktif dalam campur tangan tukaran asing untuk mempengaruhi paras kadar pertukaran, yang menerima tekanan hebat kadar pertukaran, terutama pada Ogos dan September 2015.

Rizab antarabangsa bersih meneruskan trend menurun, mencatat US$93.3 bilion pada 30 September 2015, jauh di bawah paras psikologi US$100 bilion yang dicatat pada 31 Disember 2014.