KUALA LUMPUR: Sebanyak 43 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia yang menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 menyasarkan jualan sehingga RM60 juta sepanjang penganjuran acara berkenaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sasaran itu merupakan antara usaha kementerian membantu usahawan tempatan memperluas pasaran, khususnya bagi produk halal ke peringkat antarabangsa.
"KUSKOP turut menyaksikan tiga kerjasama strategik bagi memperkukuh ekosistem halal dan membantu PMKS meningkatkan keupayaan perniagaan.
"Kerjasama pertama membabitkan KUSKOP dan Maxis bagi melatih PMKS dalam usaha pendigitalan, khususnya berkaitan proses pensijilan halal.
“Yang kedua, kita juga menyaksikan kerjasama antara MIHAS dan KUSKOP. Dalam tempoh kira-kira lima tahun kebelakangan ini, KUSKOP telah membantu lebih 3,000 syarikat PMKS termasuk koperasi untuk mendapatkan pensijilan halal," katanya ketika dietmui pemberita di MIHAS 2026, hari ini.
Sehubungan itu, kerjasama ketiga pula membabitkan syarikat Zull Design Autotronic yang mempunyai kepakaran dalam pembuatan mesin dan jentera, khususnya bagi sektor makanan dan minuman (F&B).
Steven berkata akses kepada mesin dan teknologi yang bersesuaian penting bagi membantu usahawan memenuhi keperluan proses pengeluaran produk halal.
Sementara itu, beliau berkata produk halal Malaysia turut mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran luar negara, termasuk China.
"Perkara itu antara yang dibincangkan ketika saya mengadakan pertemuan dengan syarikat e-dagang di China baru-baru ini.
“Saya juga telah mencadangkan supaya diwujudkan Malaysian Mall dalam platform-platform e-dagang antarabangsa, di mana produk-produk PMKS Malaysia termasuk produk halal boleh dipasarkan melalui platform e-dagang antarabangsa ke pasaran luar negara termasuk China,” katanya lagi.