SYDNEY: Pihak berkuasa di Australia Barat (WA) pada petang Jumaat mengeluarkan amaran kecemasan berikutan kebakaran hutan yang tidak terkawal di kawasan pinggir bandar utara Perth, dengan penduduk diminta bersiap sedia untuk berpindah, lapor Xinhua.
Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan (DFES) dalam satu amaran yang dikeluarkan sejurus selepas 12.20 tengah hari waktu tempatan memaklumkan bahawa penduduk berhampiran kawasan kebakaran hutan yang tidak terkawal, kira-kira 35 kilometer di timur laut pusat bandar Perth, perlu bersiap sedia untuk meninggalkan kediaman masing-masing.
"Terdapat kemungkinan ancaman terhadap nyawa dan kediaman berikutan kebakaran yang sedang berlaku di kawasan berkenaan serta keadaan yang sentiasa berubah," menurut kenyataan itu.
DFES berkata, mereka yang bercadang untuk berpindah perlu berbuat demikian dengan segera serta membawa radio, peti pertolongan cemas, pakaian perlindungan dan barangan berharga yang tidak boleh diganti.
Menurut jabatan itu, penduduk yang bercadang untuk kekal bagi mempertahankan harta benda masing-masing perlu memastikan mereka bersedia dari segi mental dan fizikal, selain mempunyai pakaian perlindungan serta bekalan air sendiri yang tidak bergantung kepada sumber luar.
"Buat persiapan terakhir sekarang dan mula memantau kawasan sekitar kediaman anda bagi memadamkan kebakaran kecil yang mungkin tercetus," menurut amaran itu lagi.
DFES turut memaklumkan bahawa anggota bomba yang bertugas di lapangan menerima sokongan daripada pesawat pemadam kebakaran.
-- BERNAMA-XINHUA