KUCHING: Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) yang dianjurkan di Kota Samarahan adalah platform untuk memberikan pendedahan kepada usahawan desa Sarawak yang baharu dan lama untuk mengembangkan perniagaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata Mini KUD yang julung kalinya diadakan juga bertujuan untuk memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada usahawan desa bagi meningkatkan produktiviti.

"Ini adalah satu daripada strategi kementerian untuk membantu pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar, kami akan maklumkan skim-skim atau perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian melalui agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), FELCRA Berhad dan sebagainya.

"Kementerian ada program usahawan permulaan, pengembangan dan juga program usahawan berdaya tinggi. Setakat ini, MARA telah melahirkan sejumlah 177 usahawan yang dikategorikan Gate to Global iaitu produk jualan mereka telah menembusi tiga negara," katanya pada sidang media selepas meninjau karnival Mini KUD itu di Halaman Samarahan di sini, semalam.

Rubiah berkata Mini KUD ini juga untuk mendedahkan usahawan desa mempunyai sistem perniagaan yang lebih baik serta terancang yang boleh meningkatkan pendapatan mereka, sekali gus dapat membangunkan masyarakat luar bandar.

"Bila usahawan berjaya, bukan sahaja produk yang laris tetapi pada masa yang sama padanan kerja dapat dibuat, masyarakat di sekitarnya mendapat peluang pekerjaan daripada usahawan yang telah kami hasilkan.

"Selain itu, sempena Mini KUD ini, kami juga turut menjemput syarikat luar seperti Mydin, Petronas, Shell, Aeon untuk melihat produk hasil usahawan yang boleh disesuaikan untuk dimasukkan ke pasar raya mereka," katanya.

Beliau berkata untuk Mini KUD yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga Ahad itu, kementerian menyasarkan sejumlah 30,000 pengunjung manakala sasaran jualan RM300,000.

Tambah Rubiah KKWD juga telah melanjutkan tempoh penyertaan pertandingan Rural Business Challenge 2.0 (RBC 2.0) dalam menggalakkan usahawan belia desa menyertai program yang menawarkan geran perniagaan berjumlah RM15 juta.

"Setakat ini, sejumlah 1,150 usahawan telah mengemukakan permohonan daripada 5,917 jumlah akaun yang telah berdaftar dalam sistem RBC 2.0 sehingga 29 Jan lepas," katanya.

-- BERNAMA