Harga minyak mentah Brent jatuh pada paras di bawah AS$60 (RM210) setong bagi penghantaran Januari, kali pertama sejak 2009.

Keengganan Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) memotong pengeluaran yang kini pada 30 juta tong sehari menyaksikan harga minyak dunia jatuh 45 peratus dengan permintaan minyak dunia terus jatuh.

Arab Saudi yang mengetuai OPEC enggan mengurangkan penguasaan pasaran dan sebaliknya mahu mengekalkan bekalan pada kadar semasa, menafikan tuntutan Venezuela dan Iran supaya potongan pengeluaran di lakukan bagi melonjakkan kembali harga.

Berdasarkan tinjauan Bloomberg harga minyak mentah Brent dijangka jatuh ke paras AS$50 (RM175) setong bagi 2015.

Diburukkan lagi, OPEC berikrar tidak akan memotong pengeluaran meskipun harga minyak mentah jatuh kepada AS$40 (RM140) setong.

Harga jualan tertinggi 2014 mencecah AS$115 (RM402) setong pada Jun.

Aktiviti industri China semakin memperlahan kali pertama dalam tujuh bulan pada Disember sekaligus menimbulkan kebimbangan permintaan minyak mentah terus jatuh dan menolak jatuh lagi harga komoditi itu.

China merupakan pengguna minyak kedua terbesar selepas Amerika Syarikat.

Sementara itu Standard & Poor's Ratings Services percaya kejatuhan 40 peratus harga minyak memberi manfaat kepada negara Asia Pasifik memandangkan majoriti adalah pengimport bersih minyak mentah.

Pakar Ekonomi Asia Pasifiknya, Paul Gruenwald berkata, penurunan itu mampu memacu pertumbuhan KDNK di sesetengah ekonomi.

Bagaimanapun ia bergantung kepada pengurusan sesuatu negara sama ada mahu menyimpan atau membelanjakan penjimatan yang diterima dari penurunan harga minyak itu.

Beberapa faktor dikaitankan dengan kejatuhan harga minyak antaranya permintaan yang perlahan akibat aktiviti ekonomi yang lemah, situasi tegang di Iraq dan Libya, dan Sikap Arab Saudi yang mementingkan penguasaan pasaran berbanding harga.

Risiko kepada Malaysia adalah sekiranya harga terus jatuh, ia bakal menjejaskan pendapatan syarikat minyak negara Petronas dan sekaligus menjejaskan pendapatan kerajaan.

Kerajaan bergantung 30 peratus pendapatan kepada hasil petroleum.

Cabaran kini adalah sekiranya pendapatan kurang dan perbelanjaan melalui bajet kekal, sasaran defisit fiskal tiga peratus bagi 2015 sukar dicapai.

Penganalisis sebelum ini melihat kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan sama ada dari segi pembangunan mahupun operasi.