TANGKAK: Kerajaan memberi jaminan tidak akan menutup mana-mana sektor ekonomi, terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS), meskipun kes COVID-19 menunjukkan peningkatan mendadak.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia mengambil kira kesan negatif terhadap ekonomi dan kadar pengangguran yang berlaku rentetan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada tahun 2020 lalu.

Beliau berkata, selari dengan keputusan kerajaan untuk tidak akan melaksanakan ‘total lockdown’, MITI akan turut memastikan kumpulan peniaga juga tidak akan berdepan impak ekonomi sehingga memaksa beberapa sektor perniagaan terpaksa gulung tikar.

"Ya, kerajaan umum takkan PKP kerana kesan kepada ekonomi dan pengangguran.

"Sebagai contoh pada awal 2020 ketika kita laksana total lockdown, kadar pengangguran negara meningkat kepada 5.3 peratus sehingga 826,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan.

"Kita tak boleh mengenakan total lockdown sekali lagi. Apa yang kita buat berdasarkan data dan sains, kita lebih bersasar.

"Sekiranya ada kenaikan, kita lebih menggunakan data dan sains untuk langkah langkah kawalan. Ini yang akan kita lakukan," kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam Tahun Baharu Cina bersama pemain industri IKS di kawasan Tangkak, Pagoh, Muar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak pada Ahad malam.

Mengulas lanjut, katanya, program vaksinasi termasuk program imunisasi industri COVID-19 kerjasama awam-swasta (Pikas) melibatkan hampir dua juta pekerja sektor pembuatan antara inisiatif yang dilakukan MITI dalam memastikan sektor ekonomi tidak lagi terjejas dengan wabak COVID-19.

Katanya, ekonomi negara juga tidak lagi mampu menanggung impak pelaksanaan ‘total lockdown’ yang mengakibatkan kira-kira 826,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan.

Katanya, jika terdapat kenaikan kes COVID-19 di beberapa kawasan, langkah kawalan yang akan diambil oleh kerajaan lebih bersasar berdasarkan data dan sains yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).