GEORGE TOWN: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengemukakan 11 inisiatif kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan bulan depan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata antara perkara yang diberi keutamaan ialah usaha merancakkan industri semikonduktor sebagai sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
"Antaranya, kita ingin merancakkan industri semikonduktor kerana kita mahu memberi tumpuan kepada pertumbuhan tinggi, bernilai tinggi, yang boleh menciptakan banyak pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Jadi, antara inisiatif utama yang kita mohon agar dipertimbangkan oleh MoF adalah supaya kerajaan melabur secara lebih aktif dalam industri semikonduktor dengan peruntukan yang besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong di sini hari ini.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, pembentangan Belanjawan 2027 bertemakan 'Malaysia MADANI: Menggapai Di Langit, Mengakar di Bumi' dijadualkan dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang 9 Okt depan.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata MITI turut mencadangkan peruntukan bagi membantu syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menembusi pasaran baharu di luar negara yang kurang diterokai sebelum ini.
MITI juga mengemukakan cadangan berkaitan program yang menggalakkan industri meningkatkan penggunaan dan keupayaan teknologi bagi membolehkan sektor berkenaan beralih daripada aktiviti bernilai rendah kepada bernilai tinggi.
"Kita nak bawa eksport barang-barang dan produk buatan Malaysia ke luar negara, jadi kita telah memohon kerajaan memberi peruntukan untuk membawa syarikat-syarikat kita keluar memasuki negara yang kurang kita tembusi di Asia Tengah seperti di Kazakhstan dan Uzbekistan,” katanya.
Sim menjelaskan 11 inisiatif ini merupakan program baharu dan penambahbaikan yang dicadangkan MITI, manakala program sedia ada yang bersifat berterusan akan terus dilaksanakan.
"MITI berharap MOF dapat mempertimbangkan kesemua cadangan itu dengan penekanan diberikan kepada pelaburan strategik yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan," katanya.
-- BERNAMA