KUALA LUMPUR: Presiden dan pengarah urusan KPJ Healthcare Bhd Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh meletakkan jawatan, hanya lima bulan selepas memegang jawatan itu pada 1 April lalu.

Beliau berundur daripada jawatan itu berkuat kuasa 7 September ini untuk mencari peluang lain, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sejak dua tahun lalu, KPJ Healthcare menyaksikan dua pengarah urusan datang dan pergi, iaitu Mohd Shukrie dan Ahmad Shahizam Mohd Shariff.

Mohd Shukrie menggantikan Ahmad Shahizam yang dilantik sebagai pengarah urusan kumpulan itu pada 9 Julai 2020, sebelum memutuskan untuk berundur berkuat kuasa 31 Mac tahun ini.

Sebelum itu, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkhidmat sebagai pengarah urusan dan presiden dari 1 Jan 2013 hingga 1 Julai 2020.

Dalam kenyataannya pada Isnin, KPJ Healthcare berkata ketua pegawai kewangannya Norhaizam Mohammad akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mohd Shukrie buat sementara waktu, dan menyandang jawatan pegawai bertanggungjawab.

Pengerusi KPJ Healthcare Datuk Md Arif Mahmood berkata kumpulan itu yakin dengan pengalaman luas Norhaizam dalam industri penjagaan kesihatan, beliau mampu sepenuhnya memimpin sebagai pegawai yang bertanggungjawab, disokong oleh lembaga pengarah, serta pasukan pengurusan kanan yang berpengalaman.

“Melangkah ke hadapan, syarikat akan kekal fokus untuk menerajui rancangan pertumbuhan strategik kami.

"Prospek terus bertambah baik dalam sektor penjagaan kesihatan dan KPJ Healthcare berada pada kedudukan yang baik untuk menangkap peluang," tambahnya. - DagangNews.com