KUALA LUMPUR: Keyakinan pelabur yang berterusan dijangka meneruskan momentum belian di Bursa Malaysia minggu depan dengan fokus pasaran beralih kepada kaunter perbankan berikutan mereka akan mengumumkan prestasi kewangan suku keempat mereka.

Pendapatan dalam sektor perbankan pada suku tahun tersebut dijangka neutral hingga rendah dalam persekitaran antara lain tekanan margin faedah bersih, perbelanjaan operasi yang tinggi dan kos kredit.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan, Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata selain itu, perhatian kekal pada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China pada Februari, yang dijadual dikeluarkan pada Jumaat.

"Jangkaan mencadangkan kestabilan kecil atau sedikit penurunan daripada 49.2 kepada 49.1, sebahagiannya disebabkan impak daripada cuti Tahun Baharu Cina terhadap data Februari.

"Berdasarkan peranan PMI sebagai pengukur keuntungan perniagaan, pelabur saham domestik dan antarabangsa bersedia untuk menjejaki angka ini dengan teliti, membentuk sentimen pasaran di rantau ini sepanjang minggu," katanya kepada Bernama.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun mencatatkan kemerosotan berikutan peningkatan yang kukuh selama 20 bulan baru-baru ini, FBM KLCI mengekalkan kedudukan melebihi semua Purata Pergerakan Eksponen (EMA).

"Kecenderungan positif terus disokong oleh EMA yang lebih baik, menunjukkan konsolidasi yang berterusan. Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan berada dalam julat 1,540 hingga 1,570 pada minggu depan, dengan paras sokongan segera pada 1,534, diikuti 1,520.

"Paras halangan seterusnya dikenal pasti pada 1,570," katanya.

Pasaran bercampur-campur pada minggu ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang baik mendominasi apabila peserta terus mengeluarkan keuntungan daripada saham yang meningkat berikutan prestasi pendapatan mereka yang cemerlang.

Minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS, yang menunjukkan komitmen untuk mengekalkan pendirian kadar faedah tinggi, menjadi satu lagi sebab yang menyumbang kepada aktiviti pengambilan untung.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 15.56 mata kepada 1,549.11 daripada 1,533.55 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 114.10 mata kepada 11,519.36, Indeks FBMT 100 naik 118.57 mata kepada 11,172.17, Indeks FBM 70 meningkat 191.71 mata kepada 15,592.52 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 103.29 mata kepada 11,561.78.

Indeks FBM ACE berkurangan 19.40 mata kepada 4,885.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 128.84 mata kepada 17,345.39, Indeks Tenaga meningkat 34.81 mata kepada 929.89 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.74 mata kepada 177.85.

Indeks Perladangan berkurangan 6.40 mata kepada 7,247.83.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 18.60 bilion unit bernilai RM13.51 bilion daripada 12.23 bilion unit bernilai RM8.61 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 11.77 bilion saham bernilai RM12.15 bilion daripada 7.83 bilion saham bernilai RM7.73 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.11 bilion unit bernilai RM598 juta daripada 2.49 bilion unit bernilai RM359.16 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.65 bilion saham bernilai RM755.20 juta daripada 1.89 bilion saham bernilai RM509.6 juta sebelum ini.

-- BERNAMA