KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) hari ini bersetuju agar penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensi di bawahnya turut meliputi pelaburan langsung domestik (DDI) selain pelaburan langsung asing (FDI).

Menteri MITI Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, DDI yang menumpukan kepada sektor ekonomi yang membawa kepada pembangunan negara perlu diselaraskan dengan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) supaya mereka dapat peluang melabur dan memberi sokongan kepada syarikat tempatan.

"Kita setuju supaya GLIC ini semuanya juga fokus kepada DDI... menginstitusikan proses.

"Sudah tentunya, mereka ada tadbir urus mereka sendiri, tetapi buat masa ini tidak ada proses yang jelas di mana kita kerjasama rapat dengan GLIC untuk bantu syarikat tempatan kita (dari segi) FDI dan DDI," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat MPN Bil 2/2023, di sini, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Manakala tokoh koporat yang menghadirinya termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd Ahmad Zulqarnain Onn dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai agenda pemerkasaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai peneraju utama agensi penggalakan pelaburan (IPA).

"Agenda pemerkasaan MIDA sebagai agensi peneraju utama IPA (dibincangkan) dan akan diselaraskan dengan IPA lain untuk memudahkan urusan pelabur.

"Perdana Menteri banyak kali sebut bahawa kita perlukan satu pusat sehenti dan MIDA adalah pusat itu tetapi kita kena selaraskan dengan semua agensi lain supaya dari segi pelaksanaan itu bagus," katanya.

-- BERNAMA