KEPALA BATAS: Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 menjadi medan terbaik untuk orang ramai khususnya di utara tanah air mendalami ilmu pelaburan dan perancangan kewangan.

Bertemakan ‘Bijak Melabur, Santai Berhibur’, MSAM kali ini diadakan secara hibrid, membolehkan pengunjung melawat gerai pameran di Bertam serta menikmati kandungan digital secara langsung melalui halaman Facebook dan Youtube ‘minggusahamamanahmalaysia’.

Elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diterapkan dalam gerai pameran, aktiviti serta kandungan sepanjang karnival berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Muzzaffar Othman berkata, menerusi karnival literasi kewangan terbesar Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu, pelbagai aktiviti dianjurkan untuk membantu rakyat memahami kepentingan menguruskan kewangan pada masa depan.

“ASNB membuka ‘booth’ seperti kaunter, jadi pengunjung yang datang boleh membuka akaun, membuat wakaf, mengemas kini maklumat peribadi, membuat hibah, menambah pelaburan dan juga bermacam-macam aktiviti lagi.

"Jadi, sekiranya pengunjung datang kaunter kita akan memberikan khidmat nasihat kepada mereka.

“Kami berterima kasih kepada pelabur-pelabur kerana masih memberi kepercayaan kepada PNB.

"Dan kami berharap pengunjung dapat memulakan pelan kewangan masing-masing... dan boleh datang ke sini dan belajar serta mendengar khidmat nasihat mengenai pelaburan yang bersesuaian untuk mereka sebagai persediaan simpanan kewangan mereka pada masa depan," kata Muzzaffar ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, bagi memeriahkan acara, MSAM kali ini menawarkan hadiah yang lebih lumayan dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.4 juta termasuk sebuah rumah teres satu tingkat di Setia Fontaines, Bertam.

“Pelbagai hadiah lumayan termasuk sebuah rumah teres satu tingkat di Setia Fontaines ditawarkan kepada pengunjung yang berdaftar dengan aplikasi PNB Events.

"Turut akan diberikan, sebuah kereta elektrik jenis BYD Atto 3 Standard Range, Toyota Vios 1.5G AT, Perodua Axia 1.0L AV, motosikal Yamaha MT25 dan banyak lagi.

"Setiap hari pengunjung boleh memenangi barang elektrik. Jadi, saya minta semua pengunjung datang tengok dan belajar, insya-Allah sekiranya ada rezeki boleh menang,” kata Muzzaffar.

MSAM 2023 berlangsung di Setia Fontaines Bertam, di sini, bermula 30 Sept hingga 8 Okt ini.

Ia melibatkan kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen ASNB, badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri.