KUALA LUMPUR: Malaysia dinobatkan sebagai Destinasi Mesyuarat Terbaik (Asia) 2026 pada M&C Asia Stella Awards 2026, sekali gus menyerlahkan keupayaan negara sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran mesyuarat dan acara perniagaan antarabangsa di rantau ini.
Pengiktirafan berprestij itu diterima oleh Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) pada majlis anugerah rasmi berlangsung di ibu negara yang menghimpunkan pemain industri, rakan strategik dan penggiat sektor hospitaliti dari seluruh rantau.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing, berkata kejayaan itu mencerminkan usaha bersama MyCEB, rakan industri dan pihak berkepentingan dalam meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama acara perniagaan.
“Kami berbesar hati kerana Malaysia telah diiktiraf sebagai Destinasi Mesyuarat Terbaik di Asia.
“Pencapaian ini mencerminkan usaha bersama MyCEB, rakan industri dan pihak berkepentingan dalam meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama acara perniagaan.
“Pengiktirafan ini turut menguatkan keyakinan kami terhadap keupayaan, layanan dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi.
“Ia mendorong kami untuk terus menyediakan pengalaman bermakna dan berkesan kepada perancang mesyuarat, delegasi serta rakan industri dari seluruh dunia,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.
Pengiktirafan berkenaan turut menonjolkan kelebihan Malaysia dari segi ketersambungan antarabangsa, infrastruktur berkualiti, layanan hospitaliti serta keupayaan menganjurkan acara perniagaan bertaraf tinggi.
MyCEB terus memperluas sektor acara perniagaan negara menerusi pemasaran destinasi, kerjasama industri serta pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kualiti dan impak acara yang dianjurkan di Malaysia.
Selain menarik penganjuran acara antarabangsa, MyCEB memberi penekanan kepada impak ekonomi dan sosial yang terhasil menerusi sektor berkenaan dengan memanfaatkan kerjasama, kreativiti, inovasi serta keunikan hospitaliti Malaysia.
M&C Asia Stella Awards 2026 menampilkan 28 anugerah dalam enam kategori, meliputi destinasi MICE, pusat konvensyen, rakan destinasi, hotel mesyuarat, resort bersepadu serta usaha kelestarian di seluruh Asia.