MELBOURNE : Penyusutan nilai ringgit langsung bukan satu isu kepada pelabur Australia, sebaliknya mereka terus komited melabur kerana yakin dengan asas ekonomi Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam semua perbincangan beliau dengan ketua-ketua industri yang ditemuinya di sini, kedudukan ringgit langsung tidak disentuh oleh pelabur.

Malah jelasnya, mereka memandang kepada isu-isu berkaitan asas ekonomi lain seperti inflasi, pasaran saham dan pengangguran.

“Sepanjang pertemuan saya dengan bank, pelabur dan ahli perniagaan, susut nilai ringgit tidak pernah jadi isu. Mereka melihat kepada dasar ekonomi, keyakinan sistem politik, inflasi. Ia (penyusutan nilai ringgit) dikatakan faktor membimbangkan, tetapi tidak menjejaskan.

“(Penyusutan nilai ringgit) membimbangkan, tetapi tidak merunsingkan kerana mata wang kita terikat dengan nilai kadar faedah di Amerika Syarikat (AS). Malah, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yakin ringgit akan kukuh sebab orang akan melihat kepada pelaburan.

“Jika tidak, kita tidak menerima pelaburan RM24.5 bilion dari Australia... (isu) ringgit langsung tidak mengganggu,” katanya ketika menjawab pertanyaan seorang rakyat Malaysia yang kini menetap di Australia pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama diaspora Malaysia di sini, pada Rabu.

Anwar turut memaklumkan, pelaburan yang diluluskan di Malaysia tahun lalu adalah yang tertinggi dalam sejarah, justeru tidak munasabah pencapaian itu dilakar sekiranya tiada keyakinan daripada pelabur.

“Ada tindakan sementara. Perdagangan kita dengan China adalah yang paling tinggi, iaitu 25 peratus dalam mata wang tempatan dan ringgit.

“Jika kita boleh kembangkan lagi perdagangan dalam mata wang tempatan, ia akan membantu. Saya percaya, dengan angka-angka pelaburan sebegini, ringgit akan menguat,” katanya.

Menjawab satu lagi soalan daripada seorang pelajar Malaysia di Australia, Anwar berkata kebenaran akan diberikan kepada pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah menamatkan pengajian di negara tersebut untuk menimba pengalaman kerja Australia.

Jawabnya, sekiranya pelajar berkenaan adalah di bawah tajaan JPA, beliau sendiri yang akan memberikan kebenaran tersebut memandangkan beliau yang mempengerusikan mesyuarat berkaitan.

“Kita izinkan kalau ada peluang dan kesempatan untuk menimba pengalaman di Australia,” katanya.

Perdana Menteri juga menggalakkan pelajar supaya berbincang dengan pihak penaja masing-masing untuk mendapat kebenaran bagi tujuan yang sama.

Anwar ke Australia dalam lawatan rasminya sempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.

Sidang kemuncak ini dihadiri semua negara anggota ASEAN kecuali Myanmar serta turut disertai tiga negara jemputan melibatkan New Zealand, Timor Leste dan Papua New Guinea.

Australia menjadi Rakan Dialog ASEAN yang pertama pada tahun 1974, status rasmi yang diberikan kepada sebuah negara untuk mengeratkan hubungan dan Rakan Strategik Komprehensif ASEAN pada tahun 2021.