Skip to main content

Bisnes

Nittacun angkat warisan herba dalam penjagaan diri moden

nitacun tb
Rangkaian lima produk penjagaan diri berasaskan herba keluaran Nittacun yang diusahakan Koleksi Gemilang Enterprise. - Gambar Koleksi Gemilang
Advertisement

KUALA LUMPUR: Berasaskan ramuan herba yang dekat dengan masyarakat tempatan, jenama Nittacun mengolah bahan seperti bidara, limau purut, gelenggang, kulit kayu manis, sirih dan manjakani menjadi rangkaian produk penjagaan diri yang praktikal untuk kegunaan harian.

Diusahakan oleh Koleksi Gemilang Enterprise, jenama tempatan itu menawarkan lima produk utama, iaitu Terapi Bidara & Limau Purut, Mandian Bidara & Gelenggang, Minyak Nutmeg, Pencuci Wanita dan Sabun Kecantikan Kayu Manis.

Terapi Bidara & Limau Purut dirumus menggunakan bidara, limau purut, buah pala, halia dan pudina, manakala Mandian Bidara & Gelenggang menggabungkan bidara, gelenggang, lidah buaya serta madu.

Sabun Kecantikan Kayu Manis pula mengetengahkan gabungan kulit kayu manis, cengkih, habbatus sauda, pudina dan vitamin E, sementara Pencuci Wanita diformulasikan menggunakan sirih, manjakani serta pudina.

Penggunaan ramuan berasaskan tumbuhan itu mencerminkan pendekatan Nittacun dalam membawa bahan yang lazim digunakan secara tradisional ke dalam produk penjagaan diri yang lebih mudah digunakan.

Selain menghasilkan rangkaian produknya sendiri, Koleksi Gemilang turut menawarkan perkhidmatan pengilang peralatan asal (OEM) kepada usahawan yang mahu membangunkan produk kecantikan, penjagaan diri dan minuman berasaskan bahan semula jadi serta herba.

Operasi pengeluaran syarikat disokong kemudahan pemprosesan produk losen, minuman rebusan dan sabun serta mesin pembungkusan dan sistem penghantar di Pusat Pemprosesan Herba, Taman Herba Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Didaftarkan pada 12 April 2011, Koleksi Gemilang merupakan perusahaan milik penuh bumiputera yang memberi tumpuan kepada pemprosesan, pengeluaran, pembuatan dan pengedaran produk berasaskan bahan semula jadi.

Pengurus Koleksi Gemilang Enterprise, Anita Idris mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pembuatan dan pemprosesan produk berasaskan bahan semula jadi serta herba, selain pernah terlibat dalam pembangunan perniagaan dan pemasaran industri kosmetik.

Menerusi pengalaman dan kapasiti pengeluaran yang dibangunkan, syarikat itu berhasrat memperluas pasaran Nittacun serta meningkatkan daya saing produk tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Usaha membangunkan jenama berkenaan menerima pengiktirafan apabila Koleksi Gemilang meraih Anugerah Penyertaan Pilihan Khas bagi segmen Pentas Jual pada Jelajah JIWA SME 2026.

Anita berkata, program itu menyediakan platform berkesan untuk mengetengahkan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada pelbagai sektor melalui saluran fizikal serta digital.

“Sangat bagus untuk mengetengahkan produk SME yang mengandungi pelbagai sektor ke peringkat lebih meluas melalui offline dan online.

“Sewaktu berlangsungnya program JIWA SME, setiap produk dikupas dan didedahkan kelebihan kepada umum. Itu sangat membantu pihak kami selaku pengeluar,” katanya.

Menurutnya, pendedahan menerusi Astro AWANI memberi peluang kepada Koleksi Gemilang untuk memperkenalkan Nittacun kepada khalayak lebih luas.

“Bagi kami, Koleksi Gemilang yang membawa jenama Nittacun sangat memerlukan program seperti ini kerana peluang ini sangat berkesan untuk kami memasarkan produk kami melalui platform yang telah disediakan oleh Astro AWANI, khasnya program JIWA SME ini.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga kerja JIWA SME kerana memberi peluang untuk Nittacun bersama menjadi keluarga JIWA SME,” ujarnya.

Segmen Pentas Jual yang berlangsung sempena Jelajah JIWA SME 2026 memberi ruang kepada usahawan tempatan membentangkan produk, penyelesaian perniagaan dan keunikan tawaran masing-masing di hadapan panel juri.

Selain Koleksi Gemilang, Genius Kids menerima Anugerah Penyertaan Terbaik, manakala Pelosok Salai meraih Anugerah Penyertaan Berimpak Tinggi bagi segmen sama.

Produk Nittacun boleh didapati menerusi Shopee mr.taita dan TikTok @nittacuncosmetic, manakala tempahan serta pertanyaan boleh dibuat melalui WhatsApp di +60 11-1581 7699.

Must Watch Video

Advertisement