KUALA LUMPUR: Seorang suspek kes samun maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika serbuan di sebuah bilik di Chow Kit, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pada kira-kira 2 pagi itu dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Bukit Aman.
“Dalam serbuan itu, suspek telah melepaskan beberapa das tembakan dan polis membalas tembakan untuk menyelamatkan diri sehingga tiada ancaman keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, polis turut merampas sepucuk senjata api dan dadah disyaki syabu dari bilik suspek yang juga lelaki warga tempatan.
“Suspek dipercayai menggunakan teksi sebagai modus operandi untuk menyamun penumpang terdiri daripada wanita dan warga emas,” katanya.
Fadil berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, polis berjaya menyelesaikan 24 kes berkaitan suspek dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan suspek lain kes itu.
-- BERNAMA