KUALA TERENGGANU: Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar batik sutera milik bumiputera di sini menyasarkan jualan sebanyak RM20 juta pada tahun ini iaitu peningkatan lebih tiga kali ganda berbanding RM6 juta pada tahun lepas.

Pengarah Urusannya Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin berkata syarikat yakin dapat mencapai sasaran itu berikutan jualan setakat suku pertama tahun ini telah mencapai RM4 juta.

"Pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial dalam negara yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19 turut membantu merangsang semula jualan batik dan sutera kerana semua aktiviti telah dibenarkan seperti biasa.

"Pemulihan ini semakin ketara pada Ramadan dan Aidilfitri baru-baru ini kerana jualan syarikat melonjak semula hampir empat kali ganda berbanding tahun lepas dan syarikat akan terus memberi penekanan terhadap aspek pemasaran, rekaan baharu yang lebih moden dan terkini serta meningkatkan kualiti produk agar sasaran jualan pada tahun ini dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada majlis penyampaian anugerah dan makan malam Noor Arfa Stylist 2022 di sini malam tadi.

Tambahnya, walaupun jualan syarikat terjejas teruk sejak pandemik melanda negara pada 2020, Wan Mohd Hafiz bersyukur kerana mendapat bantuan kerajaan seperti Program Subsidi Upah untuk berdepan cabaran sepanjang tempoh sukar itu.

"Bagi menghargai jasa dan sumbangan kakitangan yang telah bekerja keras sepanjang pandemik COVID-19, kami telah mengiktiraf peranan mereka dengan menghadiahkan kenderaan kepada tiga kakitangan terpilih.

"Ini antara inisiatif yang diambil Noor Arfa agar kakitangan terus bermotivasi untuk bersama-sama membantu syarikat terus mencapai visi dan misi untuk muncul sebagai jenama unggul dalam industri fesyen antarabangsa," katanya yang kini mempunyai 200 kakitangan dengan kepakaran khusus dalam penghasilan blok batik, rekaan batik, lukisan dan gabungan warna.

Ditanya mengenai lambakan batik tiruan yang semakin banyak di pasaran ketika ini, Wan Mohd Hafiz berkata Noor Arfa tidak gentar dengan cabaran itu kerana mempunyai segmen pasaran tersendiri yang setia dengan keluaran produk syarikat tersebut.

"Strategi telah diatur agar produk kami mempunyai pelbagai varieti dari segi rekaan, harga dan kualiti agar mampu memenuhi permintaan pelanggan tanpa mengira status ekonomi mereka.

"Kami sentiasa peka dengan perubahan semasa dan atas sebab itulah kami aktif mengeluarkan pelbagai produk baharu untuk batik dan sutera yang memenuhi citarasa pelanggan," katanya.

Noor Arfa yang mula beroperasi pada 1980 kini mempunyai pusat jualan utama di Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC) di Chendering dan tiga cawangan lain iaitu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, Lapangan Terbang Sultan Mahmud Shah di Kuala Nerus dan Busana MARA di Kuala Lumpur.

Selain mengeluarkan kain batik sarung, batik sutera untuk baju kurung, blaus, skirt, kaftan, kemeja dan kebaya, Noor Arfa juga menawarkan koleksi songket dengan rekaan eksklusif.

Ditanya visi syarikat untuk tempoh lima tahun akan datang, beliau berkata Noor Arfa akan terus memperkasakan program keusahawanan iaitu Noor Arfa Stylist dengan sasaran 5,000 usahawan berkonsepkan 'dropship' menjelang 2027.

"Kami mahu membantu melahirkan seramai mungkin usahawan yang mahu mencari duit poket sendiri terdiri daripada suri rumah, pelajar, ibu tunggal serta individu yang berminat menceburi bidang perniagaan," katanya.

-- BERNAMA