Ringkasan AI
- Kerajaan melalui MITRA mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk memperluas bantuan kepada usahawan kecil, khususnya golongan B40 dan M40 menerusi program Uyarvu MADANI.
- Setakat ini, 8,368 permohonan diterima namun hanya sekitar 1,100 hingga 1,150 usahawan dapat dibantu dalam dua fasa program tersebut.
- Bantuan Uyarvu MADANI diberikan dalam bentuk geran dan pemilihan penerima mengutamakan mereka yang tidak mempunyai akses pinjaman serta berpotensi mengembangkan perniagaan.
PUTRAJAYA: Kerajaan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan mempertimbangkan permohonan peruntukan tambahan bagi memperluas bantuan kepada usahawan kecil, khususnya golongan B40 dan M40 yang memerlukan, menerusi program Uyarvu MADANI.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, jumlah permohonan yang diterima bagi program itu jauh melebihi kapasiti bantuan sedia ada.
Ini sekali gus menunjukkan keperluan tinggi dalam kalangan usahawan kecil untuk mendapatkan sokongan bagi mengembangkan perniagaan.
Menurutnya, kerajaan turut akan meneroka sumber pembiayaan alternatif, termasuk melalui kerjasama dengan agensi lain, bagi membolehkan lebih ramai usahawan mendapat manfaat.
“Bagi Uyarvu MADANI, kita menerima sebanyak 8,368 permohonan, namun hanya mampu menyediakan bantuan kepada kira-kira 780 penerima.
“Jika jumlah keseluruhan bagi Fasa 1 dan Fasa 2 diambil kira, kita mungkin dapat membantu sekitar 1,100 hingga 1,150 usahawan.
“Bagaimanapun, lebih 8,000 permohonan yang diterima merupakan jumlah yang besar dan jelas menunjukkan ramai usahawan kecil, termasuk daripada golongan B40, sedang berusaha memajukan perniagaan mereka serta memerlukan bantuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Harmoni MADANI dan Dharma MADANI di sini, hari ini.
Ramanan menjelaskan, Uyarvu MADANI menawarkan bantuan dalam bentuk geran, berbeza dengan kemudahan pembiayaan menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia dan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional yang disediakan dalam bentuk pinjaman.
Sehubungan itu, katanya, pemilihan penerima akan mengutamakan individu yang benar-benar memerlukan bantuan, khususnya mereka yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan pinjaman, tetapi memiliki perniagaan yang berpotensi untuk berkembang.
Beliau berkata, pemantauan turut dilakukan bagi mengenal pasti dan membantu penerima menangani kelemahan atau masalah yang dihadapi dalam menguruskan perniagaan masing-masing.
Uyarvu MADANI merupakan antara enam inisiatif baharu MITRA bagi 2026, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM65.5 juta.