KUALA LUMPUR: Datin Norlia Noah dilantik sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkuat kuasa 23 Feb lepas.

Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata Norlia, yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), mengisi kekosongan ditinggalkan Muhammad Nizam Alias, yang perkhidmatannya ditamatkan pada 22 Feb lepas.

Tajuddin yakin Norlia mampu membawa syarikat itu maju dengan pengalamannya yang cukup luas dalam industri rel terutamanya ketika menghadapi pandemik COVID-19.

"Kedudukan ini sesuai buat Norlia kerana beliau bukanlah seorang yang asing dalam Kumpulan Prasarana. Beliau telah menjawat beberapa jawatan penting sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Depoh LRT Ampang, di sini, hari ini.

Norlia mempunyai 25 tahun pengalaman dalam industri rel bermula tahun 1995 dan telah menyertai Prasarana pada 2004.

Sejak mula berkhidmat di Prasarana, Norlia memegang pelbagai jawatan penting seperti Pengarah Projek LRT 3, Ketua CAPEX Rel dan juga Ketua Pegawai Teknikal Kumpulan Prasarana sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) tahun lepas.

Selain itu, Tajuddin turut mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali sebagai anggota Lembaga Pengarah Prasarana yang baharu.

Pelantikan kedua-duanya berkuat kuasa 15 Feb lepas.

"Pelantikan dua bekas pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu tentunya akan memberi impak besar kepada Prasarana dalam menyerlahkan perkhidmatan yang cemerlang dan berintegriti," katanya.

Turut dilantik adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, berkuat kuasa 18 Jan lepas menggantikan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, yang kini memegang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

-- BERNAMA