Skip to main content

Gaya Hidup

Lebih 10 tokoh Dikir Barat berhimpun di Muzium Negara pada 7 November ini

Lebih 10 tokoh dan penggiat Dikir Barat dari pelbagai generasi bakal berkongsi pentas dalam Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Muzium Negara pada 7 November ini.
Lebih 10 tokoh dan penggiat Dikir Barat dari pelbagai generasi bakal berkongsi pentas dalam Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Muzium Negara pada 7 November ini.

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebih 10 tokoh dan penggiat Dikir Barat dari pelbagai generasi bakal berkongsi pentas dalam Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Muzium Negara pada 7 November ini.

Program anjuran Kota Pesta by Makar Fest dengan kerjasama Muzium Negara itu bukan sekadar menampilkan persembahan seni tradisional, sebaliknya membawa misi mengangkat Dikir Barat sebagai warisan budaya yang terus relevan, berkembang dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Disokong melalui geran ArtsFAS (Arts For All Seasons) oleh Yayasan Hasanah, acara berkenaan turut menggabungkan elemen pendidikan, perkongsian ilmu, pemuliharaan warisan dan penglibatan komuniti.

Advertisement

Pemilihan Muzium Negara sebagai lokasi penganjuran membawa simbolik tersendiri apabila seni rakyat yang berakar daripada budaya masyarakat Pantai Timur diraikan di institusi warisan negara, sekali gus memperluas penghayatan masyarakat terhadap seni berkenaan.

Antara tokoh dan penggiat yang dijadualkan menjayakan persembahan khas itu ialah Sabri Yunus, Halim Yazid, Jali Bunga Tanjong, Setapo Merak Emas, Eda Ezrin, Den Manjo, Fadil Turbo, Jemi Intan Berlian, Amran DBA, Ropie Hitam Manis dan Asrulfaizal Kamaruzaman.

Advertisement

Penganjur berkata, pertemuan barisan tokoh daripada pelbagai latar pengalaman itu dijangka memperlihatkan evolusi Dikir Barat yang terus berkembang mengikut peredaran zaman tanpa mengorbankan keaslian dan identitinya.

Selain persembahan pentas, program itu turut menampilkan sesi khas “Seni Berpantun dalam Dikir Barat” bersama Sabri Yunus yang akan mengupas keunikan seni berpantun sebagai antara elemen teras dalam persembahan Dikir Barat.

Image
Sumber: Kota Pesta
Sabri Yunus yang akan mengupas keunikan seni berpantun sebagai antara elemen teras dalam persembahan Dikir Barat dalam sesi khas “Seni Berpantun dalam Dikir Barat.”

Sesi itu dijangka memberi pendedahan mengenai teknik pengolahan bahasa, kreativiti, permainan kata, rima dan kemahiran bercerita yang menjadikan Dikir Barat bukan sekadar hiburan, malah medium komunikasi masyarakat yang kaya dengan nilai budaya dan pemikiran.

Dalam usaha melahirkan pelapis baharu, penganjur turut memperkenalkan Dikir Barat Youth Camp yang menyasarkan penyertaan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Melalui program berkenaan, peserta akan mengikuti bengkel berkaitan penulisan lirik, muzik dan teknik persembahan di bawah bimbingan tokoh serta penggiat seni Dikir Barat sebelum menghasilkan persembahan penutup sebagai hasil pembelajaran mereka.

Pada masa sama, sebuah Forum Warisan akan menghimpunkan tokoh seni, penggiat budaya dan pendidik bagi membincangkan cabaran serta masa depan seni tradisional dalam mendepani perubahan masyarakat dan perkembangan teknologi.

Penganjuran kali ini turut memberi penekanan kepada usaha pendokumentasian digital sebagai sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan budaya, membolehkan persembahan, pengetahuan dan kreativiti tokoh Dikir Barat direkodkan untuk rujukan serta pendidikan generasi akan datang.

Penganjur berharap gabungan persembahan, pendidikan, penglibatan belia dan dokumentasi digital itu dapat memperkukuh kedudukan Dikir Barat sebagai warisan seni yang bukan sahaja terus diraikan, malah dipelajari dan dikembangkan dalam landskap budaya negara.

Pada 7 November ini, Muzium Negara dijangka menjadi pentas pertemuan antara warisan dan generasi apabila suara-suara Dikir Barat kembali bergema, membawa bersama nilai tradisi, identiti budaya dan harapan untuk masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement