awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Menteri Pertahanan Belanda mohon maaf atas serangan udara maut 2015 di Iraq
Indonesia usul tambahan 21,000 polis hutan tingkatkan pengawasan hutan
MOSTI lancar dua dokumen strategik utama pacu pembangunan ekonomi bernilai tinggi
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

NPL terkawal, kerajaan yakin jaminan kredit pacu PKS dan pelaburan - Amir Hamzah

Bernama
Bernama
15/01/2026
21:10 MYT
NPL terkawal, kerajaan yakin jaminan kredit pacu PKS dan pelaburan - Amir Hamzah
Amir Hamzah berucap pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Inisiatif Belanjawan 2026 — Peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) kekal rendah iaitu sekitar dua peratus, mencerminkan tahap risiko yang boleh diurus meskipun peruntukan jaminan pembiayaan ditingkatkan secara ketara di bawah Belanjawan 2026.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peluasan skim jaminan kredit itu dilaksanakan secara berhati-hati melalui kerjasama rapat dengan institusi kewangan bagi memastikan risiko fiskal terus terkawal serta disiplin kewangan jangka panjang terpelihara.
"Saringan pinjaman dibuat oleh institusi kewangan serta pihak pelaksana skim dan setakat ini kadar NPL kekal rendah, sekitar dua peratus iaitu pada tahap yang boleh diurus," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pelancaran Inisiatif Belanjawan 2026 - Peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan, di sini, pada Khamis.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan jaminan pembiayaan melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dengan jumlah keseluruhan ditingkatkan kepada RM30 bilion, sejajar dengan matlamat memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta ekonomi MADANI.
Daripada jumlah itu, RM10 bilion diperuntukkan khusus kepada bumiputera dan kerajaan menjangkakan lonjakan penglibatan yang lebih ketara hasil daripada peruntukan berkenaan.
"Daripada RM30 bilion yang diperuntukkan, RM10 bilion untuk bumiputera dan kerajaan menjangkakan lonjakan yang lebih ketara hasil daripada peruntukan ini," katanya.
Amir Hamzah berkata, bagi menyokong pembangunan industri halal negara, jaminan pembiayaan kepada PKS halal turut ditingkatkan kepada RM2 bilion bagi meluaskan akses modal kepada usahawan dalam sektor berkenaan.
Selain itu, syarikat peringkat pertengahan yang berorientasikan eksport diperuntukkan jaminan sebanyak RM5 bilion manakala perniagaan dalam sektor industri bernilai tinggi turut menerima jaminan pembiayaan berjumlah RM5 bilion.
Beliau berkata walaupun peruntukan jaminan ditingkatkan, proses tapisan pinjaman tetap perlu dilaksanakan dengan betul di samping sokongan berterusan kepada PKS supaya mereka memahami struktur pembiayaan serta keperluan pengurusan kewangan yang baik.
Mengulas penurunan pengambilan skim berkaitan PKS pada tahun lepas, Amir Hamzah berkata, situasi itu dipengaruhi persekitaran ekonomi global yang mencabar serta tahap keyakinan pelabur yang lebih berhati-hati, selain keputusan kerajaan untuk tidak memasukkan syarikat peringkat pertengahan dalam SJPP pada ketika itu.
"Tahun ini, syarikat mid-tier (pertengahan) diperkenalkan semula berikutan peruntukan yang lebih besar," katanya.
Terdahulu di dalam ucapannya, Amir Hamzah berkata bagi membantu golongan yang berpendapatan tidak tetap, Kerajaan MADANI melalui Belanjawan 2026 meneruskan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan jaminan pembiayaan sehingga RM20 bilion untuk pembeli rumah pertama.
Katanya, ia disasarkan untuk membantu lebih 80,000 orang melalui jaminan sehingga 120 peratus.
"SJKP juga akan memperluas perlindungan kepada kakitangan kontrak dan menawarkan Skim Jaminan Kredit Perumahan MADANI untuk membantu mereka yang tiada pendapatan tetap memiliki rumah melalui institusi kewangan terpilih.
"Sejak penubuhan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd pada akhir 2007 sehingga Disember 2025, ia meluluskan jaminan kepada lebih 104,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM25 bilion.
"Bagi 2025 sahaja, peruntukan skim di bawah SJKP ini memanfaatkan lebih daripada 27,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan bernilai RM7 bilion berjaya diluluskan manakala bagi 2023 hingga 2025, seramai 88,000 pembeli rumah pertama berjaya mencapai impian mereka dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM22.8 bilion," katanya.
Menyentuh prospek ekonomi, beliau berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal stabil dengan sasaran empat hingga 4.5 peratus bagi 2026 dengan mengambil kira kesan tarif global.
"IMF juga menyemak semula unjuran ekonomi ke arah lebih positif, mencerminkan daya tahan ekonomi global yang lebih baik daripada jangkaan. Kestabilan ini memberikan keyakinan dan kebolehramalan kepada pelabur untuk terus melabur di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#pinjaman tidak berbayar NPL
#Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bh
#Kementerian Kewangan
#Amir Hamzah Azizan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan