SAN FRANCISCO/BERLIN: Syarikat gergasi kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat (AS), OpenAI sedang meluaskan kehadirannya di Jerman dan merancang untuk membuka premis kedua di Berlin, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Sam Altman dalam satu wawancara dengan Handelsblatt yang diterbitkan pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Satu-satunya pejabat OpenAI di Jerman setakat ini terletak di Munich. Altman memberitahu akhbar itu bahawa beliau berhasrat membina pusat data syarikat itu sendiri di Jerman bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap infrastruktur AI.
Tarikh pembukaan rasmi pejabat baharu di Berlin itu belum ditetapkan, namun Altman berkata ia bakal direalisasikan tidak lama lagi.
Jerman merupakan pasaran terbesar di Eropah bagi perkhidmatan ChatGPT berbayar OpenAI, menurut syarikat itu, selain berada di tangga tiga teratas di peringkat global.
Altman memberitahu akhbar berkenaan bahawa Jerman adalah antara pasaran terbesar dan paling pesat berkembang buat syarikat itu.
Sektor ekonomi Jerman menggunakan AI secara meluas dan menjadi rakan kongsi utama. Altman memetik kerjasama dengan Deutsche Telekom sebagai contoh.
Selain meluaskan lokasi pejabatnya, syarikat itu sedang meneroka pilihan untuk membina infrastruktur tempatan bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap kuasa pengkomputeran yang diperlukan untuk menjalankan dan melatih model AI moden.
Altman berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan di Berlin mengenai potensi pembinaan pusat data di Jerman, namun belum ada keputusan konkrit yang dicapai.
Ketua OpenAI itu berkata sesebuah negara akhirnya perlu membuat keputusan sama ada mahu membina pusat data sendiri atau menyewa kapasiti dari negara lain. Beliau berharap Jerman akan memilih cadangan pertama.
Apa pun keputusannya, Jerman sebagai lokasi perniagaan sudah pun menikmati manfaat daripada integrasi mendalam aplikasi AI moden, kata Altman.
-- BERNAMA-dpa