BISNES
Pakar Ekonomi sambut baik penyelesaian rundingan TPP, tetapi dengan beberapa keraguan

12 negara Asia-Pasifik, termasuk Amerika Syarikat (AS), Malaysia, Singapura, Jepun dan Australia akhirnya bersetuju memuktamadkan rundingan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP)
Laporan yang 12 negara Asia-Pasifik, termasuk Amerika Syarikat (AS), Malaysia, Singapura, Jepun dan Australia akhirnya bersetuju memuktamadkan rundingan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) perlu disambut baik, tetapi kita tidak boleh terlalu teruja, kata seorang pakar ekonomi.
"Perdagangan bebas memang baik tetapi melihat kepada kesan perjanjian perdagangan baharu ke atas keseluruhan pertumbuhan ekonomi atau pasaran saham, adalah seperti melihat rumput tumbuh.
"Sudah pasti, TPP perlu diluluskan menjadi undang-undang di setiap negara dan terdapat sedikit ketidaktentuan dalam hal ini di AS.
"Saya tidak akan mengubah sebarang unjuran pertumbuhan ekonomi atau jangkaan pasaran pelaburan berikutan perjanjian itu," kata Ketua Strategi Pelaburan dan Ketua Pakar Ekonomi AMP Capital Investors, Dr Shane Oliver kepada Bernama.
Pada 5 Oktober lalu, AS dan 11 negara anggota TPP menyelesaikan rundingan mengenai perjanjian perdagangan, yang berusaha untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan di kalangan mereka, menggalak inovasi, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan serta menyokong penciptaan dan pengekalan pekerjaan.
Oliver berkata, bagi Australia, sebahagian besar TPP akan memanfaatkan pengeksport luar bandar, termasuk industri gula.
"Mungkin terdapat sedikit manfaat kepada pengguna, tetapi tarif Australia ke atas import sudah terlalu rendah.
"Bagi Malaysia mungkin terdapat sedikit faedah dalam eksport ke AS dan beberapa negara lain," katanya.
Ketika ditanya mengenai negara yang diketepikan daripada TPP seperti India, China dan Indonesia, beliau berkata: "Ya, banyak negara diketepikan dan ia banyak melibatkan politik.
BACA: Khazanah, Petronas berkemungkinan besar "dikecualikan" dari TPPA - Mustapa
"Bagaimanapun sesetengah negara dalam TPPA seperti Australia sudah mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan China, oleh itu ia tidak akan menjadi masalah besar kepada mereka."
Oliver berkata, walaupun TPP bukanlah suatu perubahan besar kepada AS, ia membantu mengukuhkan hubungan AS dengan pelbagai negara di rantau ini ketika ia beralih keluar daripada penglibatan di Timur Tengah.
Dalam analisisnya yang boleh diperoleh di sini, Dr Dan Steinbock, Pengarah Penyelidikan Perniagaan Antarabangsa di Institut India China dan Amerika yang berpangkalan di AS berkata, rundingan TPPA yang baru dimuktamadkan menawarkan Asia senario yang baik, buruk dan hodoh.
Jika TPPA itu gagal, ia akan menjadi tamparan hebat kepada kredibiliti AS di Asia, kata Steinbock, yang juga felo pelawat di badan pemikir China, iaitu Institut Kajian Antarabangsa Shanghai (China) dan Pusat EU di Singapura.
"TPP telah dipuji sebagai satu kejayaan kepada pentadbiran Obama.
"Bagaimapuna ia masih menghadapi rintangan yang sukar di Kongres kerana ia ditentang oleh calon utama Demokrat, Hillary Clinton, di samping ia memerlukan kelulusan badan perundangan 11 negara anggota TPP," katanya.
Pada 2005, wawasan TPP asal di kalangan negara Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura adalah bagi mewujudkan FTA yang inklusif.
Steinbock berkata, Vietnam dan Malaysia akan mendapat akses kepada pasaran penting AS manakala Singapura mahu mendapatkan akses lebih besar ke Amerika, di samping negara yang kaya minyak, Brunei.
Menurutnya, walaupun Vietnam mempunyai pertelingkahan dengan China, keempat-empat negara menikmati kerjasama ekonomi dengan China, yang kekal sebagai satu daripada rakan kongsi perdagangan terbesar mereka.
Sebagai anggota FTA ASEAN-China, Steinbock berkata, semua negara anggota ASEAN mendapat manfaat daripada kerjasama dengan China.
China juga mempunyai FTA dua hala dengan setiap negara anggota TPP, termasuk Singapura, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Peru dan Chile.
Australia menyambut baik TPP itu, tetapi hanya selepas beberapa minggu ia menandatangani FTA dengan China.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Dewan Perniagaan Amerika di Singapura (AmCham) menggesa Kongres AS untuk menyokong penubuhan TPP dan mengambil tindakan untuk memastikan ia berjaya dimuktamadkan, dengan menyifatkan TPP sebagai FTA yang sangat penting yang akan meningkatkan pertumbuhan dan pekerjaan Amerika.
"Ia meliputi pelbagai sektor yang penting kepada ekonomi kita, termasuk komoditi, perkhidmatan dan teknologi baharu dan menetapkan standard yang akan membentuk perdagangan pada abad ke-21," katanya.
Dengan penduduk hampir 800 juta dan gabungan KDNK lebih 40 peratus daripada jumlah dunia, dewan itu berkata, 12 negara yang mengadakan rundingan boleh menjangka untuk meraih manfaat ekonomi yang besar daripada peningkatan volum perdagangan dan hubungan ekonomi lebih kukuh di kalangan anggota kumpulan TPP itu.
Menurutnya, ini akan menghasilkan pekerjaan di negara anggota dan menawarkan lebih banyak peluang kepada syarikat daripada semua saiz untuk tumbuh dan mengembangkan jangkauan di rantau ini.
Kenyataan itu berkata, perusahaan kecil dan sederhana mendapat tumpuan utama dalam rundingan berkenaan.
Selain itu, katanya, TPP akan menggabungkan pelbagai isu pada abad ke-21 seperti kawal selia yang tersusun dan ketelusan yang akan menambah baik persekitaran perdagangan dan pelaburan di rantau ini.
Ia adalah beberapa isu yang dihadapi syarikat di semua negara dan sektor, tetapi dengan menanganinya, akan memastikan integrasi serantau yang merangsang pertumbuhan akan berjalan dengan lebih licin dan cekap, tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami