KUALA LUMPUR: Komponen pendapatan yang terkumpul hasil daripada pengeluaran iaitu pampasan pekerja (PP) dan Lebihan Kendalian Kasar (LKK) masing-masing menyumbang 34.8 peratus berbanding 37.1 peratus pada 2020 dan 62.9 peratus berbanding 60.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berikutan ekonomi Malaysia yang pulih beransur-ansur.

Menurut Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, KDNK selebihnya disumbangkan oleh cukai bersih sebanyak 2.3 peratus pada 2021 berbanding 2.7 peratus pada 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ekonomi Malaysia pulih secara beransur-ansur pada 2021 dengan KDNK nominal meningkat kepada 9.0 peratus selepas menguncup 6.3 peratus pada 2020, manakala KDNK pada 2021 adalah 2.2 peratus melebihi paras pra-pandemik pada 2019.

PP yang merujuk kepada saraan yang diterima oleh pekerja bagi penyediaan perkhidmatan buruh dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan menokok 2.2 peratus pada 2021 berbanding penurunan 3.0 peratus pada tahun sebelumnya, katanya.

Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah PP berjumlah 62.8 peratus, diikuti sektor pembuatan sebanyak 23.3 peratus, manakala sektor pembinaan dan pertanian masing-masing 7.5 peratus dan 4.3 peratus.

Sementara itu, sektor selebihnya menyaksikan perlombongan dan pengkuarian menyumbang 2.0 peratus kepada keseluruhan PP pada 2021.

PP dalam sektor perkhidmatan tumbuh 1.1 peratus pada 2021 berbanding -1.3 peratus pada 2020, disumbangkan oleh subsektor pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.

Malah, ia turut meningkat ketara dalam sektor pembuatan pada 5.8 peratus berbanding -1.0 peratus pada tahun sebelumnya, didorong oleh PP dalam produk elektrik, elektronik dan optikal, manakala PP bagi sektor pertanian naik kepada 8.2 peratus pada 2021 berbanding 2.0 peratus terutamanya disokong oleh harga komoditi yang lebih tinggi.

PP dalam sektor perlombongan dan pengkuarian menokok kepada 5.4 peratus berbanding penyusutan 13.3 peratus pada 2020, manakala PP sektor pembinaan kekal merosot sebanyak 3.6 peratus berbanding penurunan 18.0 peratus pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, LKK sebagai komponen pendapatan terbesar KDNK telah merekodkan pertumbuhan dua digit 14.0 peratus daripada penurunan 6.8 peratus pada tahun sebelumnya sekali gus merupakan pertumbuhan tertinggi yang pernah direkodkan sejak 2010 pada 16.0 peratus, menurut DOSM.

Malah, LKK tersebut telah melepasi paras pra-pandemik sebanyak RM57.3 bilion atau peningkatan 6.3 peratus pada 2021 yang disumbangkan oleh semua sektor, melainkan sektor pembinaan.

Menurut DOSM, LKK dalam sektor perkhidmatan pulih kepada 3.4 peratus berbanding -4.7 peratus pada 2020, disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

Dalam sektor pembuatan, LKK meningkat kepada 26.2 peratus berbanding -4.4 peratus pada 2020, didorong oleh pertumbuhan yang kukuh ke atas produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Selain itu, LKK bagi sektor pertanian melonjak kepada 37.5 peratus berbanding 7.3 peratus pada 2020, disokong oleh pengembangan dalam subsektor getah, sawit, ternakan dan pertanian lain.

Sektor perlombongan dan pengkuarian pula menyaksikan LKK meningkat kepada 26.0 peratus berbanding -27.7 peratus pada 2020 berikutan harga petroleum yang tinggi, manakala LKK sektor pembinaan kekal menyusut 5.5 peratus berbanding penurunan 15.7 peratus pada tahun sebelumnya.

LKK menyumbang 62.9 peratus kepada KDNK Malaysia pada 2021 berbanding 60.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Sektor perkhidmatan menyumbang 50.8 peratus daripada jumlah LKK, diikuti sektor pembuatan sebanyak 23.9 peratus.

Sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian masing-masing menyumbang 12.6 peratus dan 11.1 peratus, manakala sektor pembinaan sebanyak 1.6 peratus.

-- BERNAMA