BISNES
Pasaran harta tanah kekal berdaya tahan, disokong inisiatif kerajaan

Amir Hamzah berkata ketahanan itu disokong oleh inisiatif kerajaan yang direka untuk mengukuhkan kemampuan kewangan dan menggalakkan pemilikan rumah. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran harta tanah negara kekal berdaya tahan pada separuh pertama 2025 meskipun bilangan transaksi menunjukkan sedikit penyusutan.
Ringkasan AI
- Pasaran harta tanah kekal berdaya tahan walaupun jumlah transaksi menurun 1.3 peratus kepada 196,232, dengan nilai transaksi meningkat 1.9 peratus kepada RM107.68 bilion, disokong oleh inisiatif kerajaan di bawah Ekonomi MADANI dan Belanjawan 2025.
- Langkah seperti Skim Step Up Financing, pelepasan cukai faedah pinjaman rumah bernilai RM500,000 hingga RM750,000, serta penurunan OPR kepada 2.75 peratus dijangka terus menggalakkan pemilikan rumah dan merangsang pasaran kediaman.
- Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat 0.7 peratus kepada 227.3 mata dengan harga purata rumah RM490,376 seunit, manakala aktiviti pembinaan dan industri kediaman menunjukkan pertumbuhan positif di semua peringkat.
Beliau menambah, langkah kerajaan termasuk pengenalan Skim Step Up Financing di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi pembelian rumah pertama, serta pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman bagi kediaman bernilai RM500,000 hingga RM750,000 sepanjang 2025, dijangka terus menggalakkan permintaan.
Selain itu, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus juga diyakini mampu meningkatkan kemampuan kewangan pembeli sekali gus merangsang pasaran kediaman.
“Kita sedang melihat model baharu untuk membantu rakyat Malaysia memiliki dan mampu membeli rumah, yang bermakna penggunaan konsep rent to own akan menjadi sesuatu yang kita terus dorong dan berharap juga dapat mengurangkan kes projek yang tidak siap dan projek yang terbengkalai.
“Apa yang kita lakukan juga ialah melihat pada Bajet yang akan datang pada bulan Oktober, kita akan melihat mekanisme untuk membantu ke arah yang kita inginkan dari segi pembaharuan perumahan dan keutamaan adalah untuk mereka yang mencari perumahan mampu milik,” katanya lagi.
Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) merekod sebanyak 196,232 transaksi, menurun 1.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Namun begitu, nilai transaksi meningkat 1.9 peratus kepada RM107.68 bilion, mencerminkan keyakinan berterusan dalam pasaran.
Antara dapatan utama lain ialah aktiviti pembinaan kediaman dan industri terus kukuh dengan pertumbuhan positif di semua peringkat.
Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) turut merekodkan peningkatan tahunan sebanyak 0.7 peratus kepada 227.3 mata dengan harga purata rumah pada paras RM490,376 seunit.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami