Skip to main content

Bisnes

Ringgit dibuka tinggi disokong pendekatan pragmatik subsidi bahan api

51770173976_tbRINGGITMALAYSIA.jpg
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu mengukuh kepada 3.9855/4.0050 berbanding dolar AS daripada paras 3.9920/9955 ketika ditutup pada Khamis. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi untuk hari keempat berturut-turut berikutan langkah kerajaan Malaysia melaksanakan pendekatan pragmatik terhadap subsidi bahan api dengan mengimbangi disiplin fiskal dan kebimbangan kos sara hidup di tengah ketegangan Asia Barat.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu mengukuh kepada 3.9855/4.0050 berbanding dolar AS daripada paras 3.9920/9955 ketika ditutup pada Khamis.

Advertisement

Dalam perutusan khas semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 April, had bulanan individu bagi pembelian BUDI95 akan diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan berbanding 300 liter sebelum ini susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Penyelarasan itu bagaimanapun tidak menjejaskan majoriti rakyat berikutan penggunaan purata adalah sekitar 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.

Anwar turut memaklumkan Iran membenarkan kapal tangki minyak Malaysia melalui Selat Hormuz.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah itu mencerminkan usaha kerajaan untuk mencapai keseimbangan antara mengekalkan disiplin fiskal dan meminimumkan kesan kepada isi rumah, meskipun ketidaktentuan geopolitik terus memberi tekanan kepada pasaran global.

“Perkembangan ini seharusnya positif bagi ringgit kerana kerajaan peka terhadap kesan limpahan daripada perang di Iran dan memberikan respons tepat pada masanya,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata penangguhan tempoh 10 hari oleh Presiden Donald Trump terhadap kemungkinan serangan ke atas infrastruktur tenaga Iran yang pada dasarnya merupakan ruang gencatan sementara telah mengurangkan momentum kenaikan aset selamat dolar AS.

“Lanjutan penangguhan kemungkinan serangan itu lebih bertindak sebagai pelepasan tekanan berbanding perubahan arah yang sebenar. Namun begitu, pedagang pasaran dijangka mengambil pendekatan berhati-hati dengan cenderung membeli dolar AS menjelang hujung minggu berikutan risiko peningkatan semula ketegangan selepas tempoh tersebut berakhir,” katanya.

Sementara itu, ringgit turut dibuka lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4951/5077 daripada 2.5025/5049 ketika ditutup pada Khamis, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3143/3403 daripada 5.3301/3348 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.5969/6194 daripada 4.6140/6180 sebelum ini.

Mata wang tempatan itu turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0994/1148 daripada 3.1102/1132 pada Khamis, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.0868/1566 daripada 12.1529/1695 semalam, naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 235.7/237.0 daripada 236.1/236.4 pada penutupan sebelumnya serta menokok berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.65 daripada 6.62/6.63 sebelum ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video