PENANDA aras pasaran saham Amerika Syarikat, Indeks Perindustrian Dow Jones jatuh tujuh peratus atau 2,000 mata ketika sesi dagangan dibuka hari ini susulan kejatuhan 22% harga minyak mentah dunia.

Turut jatuh ialah indeks S&P 500 yang juga hilang tujuh peratus, menyebabkan dagangan di pasaran saham AS dihentikan serta merta.

Kejutan pasaran ini menyusul tindakan Arab Saudi meningkatkan pengeluaran minyak mentah secara mendadak selepas perjanjian pengurangan bekalan minyak antara OPEC dan Rusia terbatal.

Pembatalan perjanjian ini memberikan kesan besar kepada pasaran kewangan dunia yang sudah pun teruk terkesan akibat penularan COVID-19.

Minyak mentah didagangkan pada paras terendah dalam 30 tahun, menyebabkan saham-saham berkaitan minyak dan gas seperti Chevron Corp dan Exxon Mobil Corp susut sembilan peratus.