TANJUNG MALIM: Kerajaan mahu setiap pelaburan dalam industri automotif memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara melalui pembangunan teknologi, pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta pewujudan peluang pekerjaan berkualiti.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengeluar automotif yang melabur di Malaysia perlu bekerjasama dengan pemain industri tempatan supaya pembangunan sektor itu turut memanfaatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengeluar komponen serta tenaga kerja tempatan.
Menurut beliau, pendekatan itu dapat dilihat menerusi pemasangan tempatan (CKD) PROTON e.MAS 7 PHEV di Kilang EV PROTON, Automotive High-Tech Valley (AHTV) yang mencerminkan perkembangan positif industri automotif negara ke arah ekosistem mobiliti yang lebih berdaya saing dan dipacu teknologi.
"Pemasangan tempatan PROTON e.MAS 7 PHEV mencerminkan perkembangan positif industri automotif Malaysia di bawah hala tuju strategik MITI untuk membangunkan ekosistem mobiliti yang lebih kukuh, berdaya saing dan dipacu teknologi.
"Melalui dasar yang menggalakkan penyetempatan, pelaburan dan kerjasama industri, MITI mewujudkan lebih banyak peluang kepada pembekal tempatan, tenaga mahir dan keupayaan pembuatan termaju," katanya selepas merasmikan pelepasan unit pertama PROTON e.MAS 7 PHEV yang dipasang secara tempatan di Kilang EV PROTON, AHTV, pada Jumaat.
Johari berkata, kerjasama strategik PROTON bersama rakan teknologinya turut membuktikan pelaburan berkualiti mampu mempercepat pemindahan teknologi, pembangunan harta intelek (IP) serta meningkatkan kandungan tempatan dalam pengeluaran automotif negara.
Beliau turut menegaskan pembangunan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid perlu disokong dengan penyediaan infrastruktur pengecas awam yang mencukupi bagi memastikan peralihan kepada mobiliti elektrik dapat dilaksanakan secara lebih mampan dan memenuhi keperluan pengguna.
Pada majlis sama, PRO-NET melancarkan pemasangan tempatan PROTON e.MAS 7 PHEV yang merupakan kenderaan plug-in hibrid (PHEV) paling laris di Malaysia dengan lebih 4,600 pendaftaran dan tempahan melebihi 11,000 unit.
Model itu dipasang menggunakan 30 peratus komponen daripada pembekal tempatan, manakala PROTON turut mengumumkan pelaburan tambahan RM37 juta bagi memperluas kilang EV di AHTV sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan daripada 20,000 kepada 42,000 unit.