BISNES
Pelaburan dalam sektor pembuatan terus bawa impak positif kepada ekonomi, rakyat - Anwar

Perdana Menteri menyampaikan ucapan pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Julai di Puspanitapuri hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaburan dalam sektor pembuatan terus membawa impak positif kepada ekonomi negara dengan manfaatnya dirasai secara langsung oleh rakyat menerusi peningkatan peluang pekerjaan, kadar gaji dan nilai tambah industri.
Ringkasan AI
- Sebanyak 86.4% daripada 3,494 projek pembuatan yang diluluskan sejak 2021 telah direalisasikan dan beroperasi, menjawab dakwaan bahawa pelaburan berbilion tidak membawa hasil.
- Pelaksanaan projek cipta 50,000 pekerjaan baharu dan tingkatkan gaji median 5.4% kepada RM2,745, seiring kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dengan tumpuan pada bidang digital dan hijau.
- IMFC telah memudahkan 28,166 permohonan pelabur dengan kadar penyelesaian 99.9%, membuktikan kecekapan kerajaan dalam menarik dan menyokong pelaburan berkualiti tinggi.
Menurut beliau, secara keseluruhan angka tahunan pelaksanaan projek diluluskan itu merekodkan 90.6 peratus pada 2023 dan 79.2 peratus pada 2024, manakala bagi suku pertama 2025, ia mencatatkan kadar 49.8 peratus.
"Mereka kata pelaburan berbilion-bilion, mana dia (hasilnya), tak ada apa pun. (Hakikatnya) dah operasi 86 peratus (daripada projek yang diluluskan).
"Jadi, saya ada maklumkan kepada Menteri Tengku Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) untuk terus memaparkan (data terlibat) dan kilang di mana (projek berjalan) di Kulim, Johor, Sarawak, Sabah dan Lembah Klang," kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.
Anwar berkata kebanyakan projek yang direalisasikan melibatkan sektor pembuatan dengan tumpuan kepada bidang digital dan hijau.
Beliau berkata pelaksanaan projek ini berjaya mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan bagi suku pertama 2025.
Dalam tempoh sama, gaji median sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.4 peratus kepada RM2,745 berbanding RM2,600 pada tahun lalu, sejajar dengan pelaksanaan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700.
Perdana Menteri turut memaklumkan sejak penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) pada Disember 2023, sebanyak 28,166 permohonan pelabur telah dipermudahkan dengan kadar penyelesaian 99.9 peratus.
Permohonan itu melibatkan pelbagai urusan termasuk kelulusan, permit, kuota pekerja asing, utiliti dan percukaian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami