Skip to main content

Sukan

SUKMA: Sabah sasar dua emas dalam e-sukan

Sukma Selangor_BERNAMA.
Advertisement

KOTA KINABALU: Kontinjen e-sukan Sabah menyasarkan dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini.

Pengurus Pasukan E-Sukan Sabah Mohd Sofihizar Usrah berkata tumpuan bagi pemburuan dua pingat emas berkenaan diletakkan menerusi acara Street Fighter 6, Duo Efootball Mobile serta E-Chess Wanita.

“Pasukan negeri diwakili 22 atlet, seorang pengurus pasukan, lapan jurulatih, seorang caperon dan dua kitman.

“Sabah menyertai lima kategori pertandingan, iaitu Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Lelaki dan Wanita, Street Fighter 6, Efootball Mobile serta E-Chess,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Acara e-sukan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Selangor itu telah bermula semalam dan bakal berakhir pada 23 Ogos ini.

Mohd Sofihizar berkata persiapan atlet bermula pada pertengahan April lepas menerusi fasa pemilihan senarai panjang sehingga senarai pendek, diikuti dengan kem latihan tiga hari dua malam dan sesi latihan berterusan yang menunjukkan banyak peningkatan.

Beliau berkata cabaran utama pasukan ialah status e-sukan yang masih berada dalam kategori B di Sabah, sekali gus memberikan kekangan besar dari segi peruntukan pengurusan.

“Kekangan bajet itu perlu menampung kos penginapan selama sembilan hari dan kos tiket penerbangan pergi balik yang mencecah RM1,500 seorang bagi jumlah kontinjen yang ramai,” katanya.

Mohd Sofihizar berkata persaingan pada temasya kali ini dijangka sangat sengit, terutamanya dari negeri-negeri yang telah banyak melabur dalam pembangunan sektor e-sukan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kekuatan pasukan tidak hanya bergantung pada tahap permainan, malah menerapkan aspek kekuatan mental, kawalan emosi dan kepercayaan sesama rakan sepasukan.

Hampir kesemua atlet, katanya, merupakan pemain aktif yang mempunyai pengalaman luas menyertai pelbagai kejohanan di dalam dan di luar Sabah.

Mohd Sofihizar berkata aspek kesihatan dan rehat mencukupi dengan meminum banyak air putih amat diutamakan memandangkan jadual pertandingan sangat padat, bermula seawal 8 pagi hingga 10.30 malam.

Beliau turut mengingatkan atlet supaya kekal fokus dan mempunyai mental yang kuat kerana kejutan boleh berlaku, memandangkan pemain bintang juga pernah gagal mencapai sasaran final sebelum ini.

“Harapan saya agar kesemua peminat e-sukan Sabah membantu mendoakan kami semua supaya dapat menyumbang pingat bagi negeri Sabah yang tercinta.

“Saya juga mengharapkan agar kita dapat naik ke kategori sukan A agar e-sukan dapat lebih membangun dan berkembang dengan lebih pesat untuk mendidik lebih banyak atlet yang berpotensi tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement