PUTRAJAYA: Pengeluar sarung tangan nitril terbesar dunia, Hartalega Holdings Bhd, telah mencapai persetujuan dengan Northern Gateway Free Zon Sdn Bhd, untuk membeli 250 ekar tanah di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menerusi urusniaga melalui anak syarikat masing-masing, iaitu Hartalega NSM Sdn Bhd, dan Northen Gateway Freezone Sdn Bhd, projek itu merupakan fasa pertumbuhan terkini Hartalega dengan nilai pelaburan sebanyak RM7 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau mengalu-alukan pelaburan Hartalega dalam kawasan Zon Sempadan Ekonomi Khas Kota Perdana (SBEZ Kota Perdana) Bukit Kayu Hitam, memandangkan syarikat itu mempunyai prestasi produktiviti tertinggi dalam industri.

“Saya percaya, dengan pengalaman, komitmen, kepakaran dan keupayaan Hartalega, cadangan pelaburan dan pembinaan Kompleks Kilang Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu di SBEZ Kota Perdana, dapat memberi sumbangan kepada ekonomi negara.

“Saya berharap projek pelaburan Hartalega akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat bagi bandar sempadan Bukit Kayu Hitam, dan sekitarnya, serta limpahan pelaburan itu dapat diterjemahkan melalui penjanaan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu,” katanya lagi.

[TERKINI] Hartalega beli tanah 240 ekar di Bukit Kayu Hitam

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tanah di SBEZ Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam, Kedah, antara Northern Gateway Freezone Sdn Bhd, dan Hartalega NSM Sdn Bhd, di sini hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Pengarah Northern Gateway Free Zon Syaiful Hafiz Moamat Mastam, dan Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Holdings Bhd Kuan Mun Leong.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, perjanjian tersebut merakamkan satu lagi detik pencapaian penting bagi Northern Gateway, yang merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), serta pemaju hartanah utama untuk menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi di SBEZ Kota Perdana.

Selain Tengku Zafrul, turut menyaksikan upacara itu ialah Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon.

Pada masa kini, Hartalega mengekalkan statusnya sebagai syarikat utama pengeluar sarung tangan nitril dengan kapasiti 43 bilion sarung tangan setahun.

Dengan pelaksanaan projek jangka masa panjang di Bukit Kayu Hitam itu, ia akan meningkatkan kapasiti pembuatan Hartalega kepada 143 bilion setahun, sekaligus membantu mengukuhkan kedudukan negara sebagai pengeluar utama produk tersebut dengan penggunaan teknologi yang maju.

Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, bandar sempadan Bukit Kayu Hitam mempunyai kelebihan dan potensi  yang cukup tinggi memandangkan ia merupakan laluan utama perdagangan rentas sempadan di utara Semenanjung Malaysia.

Dengan anggaran nilai kira-kira RM40 bilion setahun, beliau berkata, ia seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin demi memangkin pertumbuhan ekonomi negara.

Tegasnya lagi, Malaysia dan Kedah secara khususnya, tidak seharusnya rasa berpuas hati dengan hanya menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai laluan eksport bagi bahan mentah dan komoditi negara jiran.

“Saya berharap usaha dan tumpuan khusus diberikan oleh northern gateway dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah untuk meneroka peluang-peluang pelaburan baharu terutamanya dalam sektor ekonomi sekunder yang berimpak tinggi untuk dibangunkan di SBEZ Kota Perdana,” katanya lagi.