OSLO: Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit, kini berada dalam senarai menunggu untuk menjalani pembedahan pemindahan paru-paru, menurut kenyataan rasmi Istana Diraja Norway.
Istana memaklumkan bahawa beliau, yang menghidap penyakit paru-paru tidak boleh diubati, telah menggantung semua tugas rasmi dan akan menjalani pembedahan sebaik sahaja penderma yang sesuai ditemui.
Mette-Marit, 52, didiagnosis pada 2018 dengan sejenis fibrosis pulmonari yang jarang berlaku, yang menyebabkan kesukaran bernafas akibat pembentukan tisu parut pada paru-paru.
Menurut pakar paru-paru dari Hospital Universiti Oslo, Prof Are Holm, keadaan kesihatan puteri itu merosot dengan ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Ujian menunjukkan fungsi paru-parunya menurun dengan ketara, dan peningkatan tisu parut dalam tempoh setahun lalu amat membimbangkan,” katanya.
Beliau menambah bahawa keadaan tersebut kini dianggap berbahaya, sekali gus memerlukan pemindahan paru-paru sebagai pilihan terakhir rawatan.
Sementara itu, Mette-Marit sebelum ini mengakui keadaan kesihatannya semakin merosot lebih cepat daripada jangkaan, sehingga menjejaskan aktiviti harian termasuk kegiatan luar seperti mendaki dan bermain ski.
Dalam masa sama, keluarga diraja turut berdepan tekanan susulan kes mahkamah melibatkan anaknya, Marius Borg Hoiby, 29, yang masih dalam tahanan menunggu keputusan perbicaraan berkaitan tuduhan rogol dan serangan serius.
Hoiby bagaimanapun menafikan tuduhan utama dan mengaku bersalah terhadap beberapa kesalahan lebih ringan.
Selain itu, Mette-Marit turut terpalit kontroversi berkaitan hubungan lalunya dengan mendiang jutawan Jeffrey Epstein, yang sebelum ini menyebabkan beliau mengakui kesilapan dalam pertimbangan.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pihak istana menegaskan keutamaan kini adalah memastikan kesihatan beliau sebelum sebarang kemungkinan kembali menjalankan tugas rasmi.