Pelan Bertindak Strategik ASEAN untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan siap menjelang November berikutan penyerahan kepada pemimpin blok serantau itu pada Sidang Kemuncak ASEAN, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

"Kami telah berusaha menyiapkanya sejak setahun lalu. Ia hampir siap. Perkara penting seterusnya ialah mendapatkan kelulusan pada mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada Ogos di Kuala Lumpur," katanya.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Pameran dan Persidangan PKS ASEAN 2015 (ASSC 2015) di sini, hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Pengerusi SME Corp, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hafsah Hashim turut hadir.

Mustapa berkata, pelan strategik itu akan memberi tumpuan mengiktiraf kepentingan PKS dalam pembangunan negara ASEAN dan keperluan pembangunan keupayaan bagi membina daya saing.

Menurutnya, rangkaian perniagaan pada ASSC 2015 itu dijangka mengaut RM400 juta dalam jualan dan sebanyak RM40 juta berjaya dicatat semalam.

Sebelum itu dalam ucapannya, Mustapa berkata, kerajaan Malaysia memainkan peranan penting dalam memudahkan pertumbuhan perniagaan dan memastikan PKS mempunyai akses yang baik kepada pembiayaan.

Kerajaan juga komited untuk memastikan PKS berada dalam kedudukan baik untuk menembusi pasaran asing, tambahnya.

"Malaysia mempunyai 8,000 PKS yang sudah mengeksport ke rantau ini dan juga dunia.

"Wawasan kita ialah meningkatkan jumlah itu dengan pesat dan saya pasti negara ASEAN lain juga mempunyai matlamat yang sama," tambahnya.

Mustapa juga mengakui keperluan memudahkan peraturan dan undang-undang standard untuk menjalankan perniagaan di kalangan negara anggota ASEAN.

Menurutnya, banyak kerja perlu dilakukan untuk menyeragamkan peraturan dan undang-undang perniagaan.

"Di Kesatuan Eropah contohnya, banyak standard diseragamkan. Ia adalah wawasan dan objektif kita," kata Mustapa.

Bertemakan "Satu Perniagaan, Satu Komuniti', ASSC 2015 telah menarik penyertaan lebih 100 PKS ASEAN dan 200 PKS Malaysia, bagi memudahkan pertukaran maklumat perdagangan dan mewujudkan sinergi untuk lebih 450 mesyuarat pemadanan perniagaan yang dirancang.