KUALA LUMPUR:
Nestlé dijangka berdepan tekanan harga saham dalam tempoh terdekat susulan langkah menyusun semula portfolio globalnya apabila Nestlé S.A. memasuki rundingan lanjutan untuk menjual baki perniagaan ais krim kepada Froneri, menurut ulasan MBSB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “Jual” terhadap Nestlé (Malaysia) Berhad dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM94.50, berbanding harga semasa RM109.50 setakat 19 Februari 2026.
Berdasarkan penilaian tersebut, MBSB Research menjangkakan potensi pulangan harga saham sebanyak -13.7%, manakala hasil dividen diunjurkan sekitar 2%, menjadikan jumlah pulangan dijangka sebanyak -11.7%.
“Langkah penjualan perniagaan ais krim adalah sebahagian strategi Ketua Pegawai Eksekutif global, Philipp Navratil untuk memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu kopi, penjagaan haiwan peliharaan, nutrisi serta makanan dan snek.
“Di Malaysia, Nestlé telah memulakan proses rasmi untuk meneroka potensi penjualan perniagaan ais krim tempatan kepada Froneri, namun proses tersebut masih di peringkat awal dan tertakluk kepada penelitian sewajarnya serta kelulusan kawal selia.
“Kami berpandangan, sekiranya pelupusan itu diteruskan, syarikat mungkin menyaksikan asas pendapatan yang lebih kecil, namun berpotensi menikmati profil margin yang lebih baik bergantung kepada keuntungan relatif segmen tersebut,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Bagi tahun kewangan berakhir Disember 2025 (FY2025), Nestlé dijangka mencatatkan hasil sebanyak RM6.66 bilion, meningkat kepada RM7.04 bilion pada FY2026 dan RM7.48 bilion pada FY2027.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula diunjurkan sebanyak RM737.7 juta bagi FY2025, meningkat kepada RM791.7 juta pada FY2026 dan RM849.6 juta pada FY2027.
Keuntungan bersih teras (Core PATANCI) dijangka mencecah RM555.5 juta pada FY2025 sebelum meningkat kepada RM596.1 juta dan RM639.7 juta masing-masing bagi FY2026 dan FY2027.
Dari segi dividen, MBSB Research menjangka syarikat akan membayar dividen sesaham sebanyak 225.0 sen bagi FY2025, meningkat kepada 241.5 sen pada FY2026 dan 259.2 sen pada FY2027, dengan hasil dividen antara 2.0% hingga 2.3%.
MBSB Research menilai penstrukturan semula ini selari dengan usaha global Nestlé untuk menumpukan kepada kategori pertumbuhan lebih tinggi dan lebih berdaya tahan, namun menyifatkan kesannya terhadap harga saham dalam jangka pendek sebagai terhad.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan Jual dengan harga sasaran RM94.50, mengambil kira penilaian berdasarkan model Diskaun Dividen (DDM) dengan kadar pertumbuhan jangka panjang 3.2% dan kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 6.1%. - DagangNews.com