KLANG: Timbalan Ketua Urus Setia (Teknologi) Jabatan Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ACP Lim Jit Huey dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Lim menggantikan ACP Ramli Kasa yang bersara wajib secara rasmi hari ini.
Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas antara Lim dengan Ramli yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, disaksikan Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar.
Shazeli dalam ucapannya pada majlis itu berkata beliau yakin dengan kewibawaan dan pengalaman luas Lim untuk menerajui IPD Klang Selatan.
Beliau berkata pada masa sama setiap anggota dan pegawai diingatkan bahawa mereka membawa harapan rakyat untuk menikmati kehidupan yang tenteram
“Setiap tindakan kita mencerminkan maruah pasukan dan setiap keputusan kita adalah cerminan integriti yang menjadi asas kepada kepercayaan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Lim, 48, ketika ditemui pemberita berkata beliau akan melakukan pemerhatian terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang langkah transformasi di IPD Klang Selatan.
“Sebelum ke sini, saya dimaklumkan Klang Selatan adalah daerah yang kompleks dari segi ekonomi, sosial dan aktiviti jenayah yang sering menarik perhatian.
“Saya juga mungkin akan mengaplikasikan sedikit sebanyak cadangan-cadangan teknologi baharu untuk memudahkan kerja dengan pengalaman di jabatan sebelum ini,” katanya.
-- BERNAMA
Malaysia
Lim Jit Huey ketua polis daerah Klang Selatan baharu
Shazeli menyaksikan penyerahan tongkat kuasa daripada Ramli (kiri) kepada Jit Huey (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Klang Selatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. - Foto BERNAMA