Skip to main content

Malaysia

Dua rakan didakwa rogol, amang seksual remaja perempuan 14 tahun

Stop sexual harassment and violence against women, rape and sexual abuse concept, STOP gesture with hand, Stop drugs, human rights violations, human trafficking, Copy space. --Adobe Stock Image
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah bilik di rumah sewa di Puncak Alam. - Gambar hiasan

KLANG: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun, dua minggu lepas.

Muhammad Irfan Mohamad, 25, yang bekerja sebagai eksekutif jualan dan Ahmad Hamzi Alias, 25, penuntut sebuah institut pendidikan tinggi awam (IPTA) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali. 

Advertisement

Mengikut pertuduhan, Muhammad Irfan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah bilik di rumah sewa di Puncak Alam pada 3 petang, 6 Feb lepas. 

Ahmad Hamzi pula didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa yang sama, di lokasi yang sama pada 5.30 pagi, 7 Feb. 

Kedua-dua tertuduh yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nuruliannah Aimi memohon supaya tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, beliau mencadangkan jumlah RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

“Ia termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi. 

Peguam Mohd Safwan Saleh yang mewakili Muhammad Irfan merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya baharu sebulan bekerja dengan pendapatan RM2,400 dan perlu menanggung keluarga di Kelantan, selain akan memberi kerjasama menghadiri prosiding mahkamah. 

Peguam M Partiben yang mewakili Ahmad Hamzi pula memohon jumlah jaminan rendah kerana anak guamnya merupakan penuntut IPTA dan sedang menjalani latihan praktikal serta masih di bawah tanggungan keluarga daripada golongan B40. 

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Siti Aminah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dan RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 9 April depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video