Skip to main content

Bisnes

Pemain industri maritim mahu panduan lebih jelas urus campuran kargo minyak

Sumber: BERNAMA
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata industri maritim menggesa garis panduan lebih jelas bagi pengurusan campuran kargo minyak, khususnya aspek dokumentasi dan kastam.

KUALA LUMPUR: Industri maritim menggesa garis panduan lebih jelas diwujudkan berkaitan pengurusan campuran kargo minyak daripada kapal ke tangki simpanan di pelabuhan, khususnya melibatkan dokumentasi, pengelasan dan layanan kastam dalam operasi pemindahan petroleum.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, kejelasan prosedur itu penting terutama dalam situasi kargo minyak mentah daripada beberapa kapal dicampur dalam tangki simpanan di darat, seperti yang berlaku di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.

Advertisement

Beliau berkata, pencampuran kargo boleh mengubah ciri fizikal minyak berkenaan dan keadaan itu memerlukan pelarasan pada dokumen sokongan bagi mengelakkan ketidaktepatan pengelasan serta penilaian duti dan cukai.

“Dalam keadaan identiti asal kargo tidak lagi dapat dipastikan, kebergantungan kepada dokumen asal boleh menimbulkan ketidaktepatan dari segi nilai, pengelasan atau layanan cukai,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata prosedur yang lebih jelas dapat memastikan keadaan fizikal kargo selari dengan maklumat yang diisytiharkan, selain memudahkan audit, kebolehkesanan dan pematuhan kawal selia.

Katanya, langkah itu juga penting bagi meningkatkan kepastian peraturan kepada pemain industri serta menangani isu penilaian dan dokumentasi dalam perdagangan petroleum.

Jeyenderan turut merujuk beberapa kes antarabangsa termasuk kejatuhan syarikat perdagangan minyak berpangkalan di Singapura, Hin Leong Trading, sebagai peringatan mengenai kepentingan integriti dokumentasi dan pengesahan inventori dalam rantaian bekalan petroleum.

Sehubungan itu, beliau menggesa penjelasan segera pihak berkuasa khususnya berhubung layanan terhadap kargo yang diisytiharkan di bawah K8 selepas dipindahkan ke tangki darat.

Menurutnya, panduan lebih jelas akan membantu proses pematuhan selain meningkatkan keyakinan terhadap operasi pemindahan petroleum negara.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini mengambil tindakan terhadap beberapa individu yang disyaki terlibat dalam pengisytiharan palsu barangan import, dengan anggaran kerugian hasil kastam mencecah RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

Must Watch Video