BISNES
Pemberhentian Powell dijangka beri tekanan kepada dolar - Pakar

Powell dilaporkan mungkin digantikan lebih awal daripada tarikh rasmi tamat kontraknya pada Mei tahun hadapan, berikutan tekanan politik untuk menurunkan kadar faedah. - Gambar fail Reuters
KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan terhadap masa depan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Jerome Powell, terus menekan pasaran kewangan global apabila nilai dolar merosot dan keyakinan terhadap dasar monetari AS semakin goyah.
Pakar ekonomi MBSB Research, Abdul Mui’zz Morhalim berkata, tekanan terhadap dolar berlaku kerana pelabur mula hilang keyakinan terhadap keupayaan kerajaan untuk mengurus hutang dan dasar fiskal secara mampan.
Ia susulan spekulasi bahawa Powell mungkin digantikan lebih awal daripada tarikh rasmi tamat kontraknya pada Mei tahun hadapan, berikutan tekanan politik untuk menurunkan kadar faedah.
Khabar angin ini tercetus selepas pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan mahu Fed bertindak lebih agresif dalam memotong kadar faedah, selari dengan pendekatan dasar luar jangka yang sering diambil oleh kerajaan beliau.Namun, tambahnya, tekanan ini masih belum menggugat pendirian Powell yang kekal berpandukan penilaian ekonomi semasa dalam setiap keputusan dasar monetari.
"Memang terdapat tekanan kepada dolar Amerika Syarikat melihat kepada indeks DXY yang menjadi kayu ukur kepaa nilai matawang dolar berbanding matawang matawang utama.
"Indeks ini telah menurun di bawah paras 100 dan berlegar sekitar 97–98, menunjukkan terdapat tekanan utama disebabkan oleh pemotongan kadar penarafan yang dibuat oleh Moody’s.
"Ia mungkin menyebabkan Amerika Syarikat terpaksa menambah lebih banyak lagi pinjaman, dan lebih daripada AS$3 trilion dijangka akan dibuat dalam tempoh 10 tahun akan datang," jelasnya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Jumaat.
Beliau turut menambah, campur tangan politik terhadap kebebasan Fed bakal memberi kesan langsung terhadap persepsi global terhadap dolar.
Dalam konteks ini, banyak negara kini mengambil langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dalam urus niaga perdagangan mereka.
Bagaimanapun, di sebalik trend yang dikenali sebagai ‘dedolarisation’ ini, dolar masih kekal dengan statusnya sebagai mata wang rizab utama dunia buat masa ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami