Penerbangan pertama AirAsia X ke Istanbul catat permintaan tinggi dua hala

Benyamin berkata AAX menawarkan empat penerbangan mingguan ke Istanbul dengan lebih 150,000 tempat duduk setahun pada tambang yang kompetitif. - Gambar fail/AAX
ISTANBUL (TURKIYE): Penerbangan pertama AirAsia X (AAX) ke Istanbul, Turkiye, mencatat permintaan kukuh bagi kedua-dua hala, dengan penerbangan dari Kuala Lumpur beroperasi pada 81 peratus kapasiti dan penerbangan balik hampir 89 peratus penuh.
Ringkasan AI
- Penerbangan pertama AirAsia X ke Istanbul mencatat permintaan kukuh, dengan penerbangan dari Kuala Lumpur beroperasi pada 81% kapasiti dan penerbangan balik hampir 89% penuh, menyaksikan tempahan tinggi pada musim puncak perjalanan Disember dan Januari.
- AirAsia X menawarkan empat penerbangan mingguan ke Istanbul dengan lebih 150,000 tempat duduk setahun pada tambang kompetitif, menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab terbesar untuk membawa penumpang dari ASEAN ke Istanbul, merancakkan perdagangan dan urusan perniagaan.
- Penerbangan ke Istanbul menjadi langkah penting dalam strategi pertumbuhan jarak jauh AAX, memperluaskan rangkaian antara Asia Tenggara dan Eurasia, mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama dalam perjalanan jarak jauh tambang rendah, serta fokus pada mengembangkan pasaran strategik untuk memperkukuh jejak global dan memberi nilai kepada para tetamu di rantau ini.
Benyamin berkata AAX menawarkan empat penerbangan mingguan ke Istanbul dengan lebih 150,000 tempat duduk setahun pada tambang yang kompetitif.
"Dengan operasi hampir 200 pesawat dalam kumpulan, dan Kuala Lumpur sebagai satu daripada hab terbesar AirAsia, syarikat penerbangan ini berupaya bukan sahaja membawa penumpang dari Kuala Lumpur, tetapi juga dari seluruh ASEAN.
"ASEAN mempunyai hampir 750 juta orang. Jika termasuk rantau Asia Utara-Pasifik, jumlahnya menghampiri satu bilion. Inilah potensi yang kami miliki dan boleh dihubungkan ke Istanbul. Sasaran empat penerbangan setiap minggu dilihat sederhana namun mampu dicapai," katanya.
Benyamin turut berkata tambang AAX yang dijangka 30 hingga 40 peratus lebih murah berbanding syarikat penerbangan lain bertujuan merangsang pasaran baharu dan memberi peluang orang ramai menjimatkan kos dan melancong lebih kerap.
Syarikat penerbangan itu juga yakin sektor Istanbul akan merancakkan perdagangan dan urusan perniagaan, katanya.
"Lebih ramai rakyat Malaysia dijangka melakukan perjalanan untuk urusan perniagaan dengan lebih mudah. Kehadiran AAX ke Istanbul dilihat sebagai satu peluang besar bagi Malaysia dan Turkiye," kata Benyamin.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Capital A Datuk Kamarudin Meranun berkata penerbangan pertama ke Istanbul menandakan langkah penting dan dinanti-nantikan dalam strategi pertumbuhan jarak jauh AAX, memandangkan Turkiye merupakan pasaran yang kukuh dan dinamik dengan potensi tinggi untuk perjalanan perniagaan dan percutian.
"Laluan baharu ini bukan sahaja memperluaskan rangkaian kami antara Asia Tenggara dan Eurasia, malah mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemain utama dalam perjalanan jarak jauh tambang rendah.
"Apabila permintaan terhadap perjalanan antarabangsa ke pelbagai destinasi utama di Eropah, Asia Tengah dan Timur Tengah terus meningkat, kami tetap fokus untuk mengembangkan pasaran strategik yang memperkukuh jejak global kami serta memberikan nilai lebih kepada para tetamu, rakan kongsi dan pihak berkepentingan di seluruh rantau ini," kata beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


