Skip to main content

Bisnes

EU timbang beku sementara had harga minyak Rusia susulan konflik Asia Barat – Laporan

Sumber: REUTERS
REUTERS

MOSCOW: Kesatuan Eropah (EU) sedang mempertimbangkan untuk membekukan sementara had harga ke atas minyak mentah Rusia berikutan konflik yang sedang berterusan di Asia Barat, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan Bloomberg pada Ahad. 

Langkah pembekuan itu dilaporkan bakal menetapkan harga minyak pada paras semasa.

Beberapa pilihan lain yang turut dipertimbangkan termasuk menangguhkan kenaikan dinamik dan automatik bagi harga bahan api sehingga akhir tahun ini, serta mengehadkan harga kepada US$60 setong, iaitu menyamai paras maksimum yang ditetapkan oleh Kumpulan G7, menurut sumber yang arif mengenai perkara itu kepada Bloomberg.

Semakan seterusnya bagi had harga minyak pada Julai ini berkemungkinan besar akan menyaksikan peningkatan paras had berkenaan kepada sekurang-kurangnya US$65.

Agensi berita itu melaporkan bahawa pakej sekatan ke-21 EU terhadap Rusia berkemungkinan akan memperkenalkan sekatan baharu menyasarkan institusi perbankan, pedagang minyak, kilang penapis minyak dan pengendali kripto di negara ketiga.

Sekatan juga mungkin dikenakan ke atas kira-kira 20 kapal tangki yang didakwa mempunyai kaitan dengan Rusia.

Pada Disember 2022, G7, Australia dan EU telah memperkenalkan had harga US$60 ke atas minyak mentah menerusi jalan laut Rusia, serta melarang penghantaran dan insurans bagi minyak yang dijual melebihi harga berkenaan.

EU bersama United Kingdom (UK), Switzerland, Kanada dan New Zealand kemudiannya menurunkan had harga itu kepada US$47.60 pada September 2025.

Presiden Rusia Vladimir Putin telah mengeluarkan dekri  pada Disember 2022 yang melarang penjualan minyak dan produk petroleum Rusia kepada entiti asing sekiranya kontrak mereka, sama ada secara langsung atau tidak langsung, mengandungi penetapan siling harga.

Larangan berkenaan sejak itu telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2026.

Rusia telah berulang kali menegaskan bahawa negara itu mampu menangani tekanan sekatan berkenaan, selain menuduh Barat tidak mempunyai keberanian untuk mengakui kegagalan dasar sekatan mereka.

Beberapa pegawai Barat turut mengkritik tindakan sekatan itu kerana dilihat tidak berkesan.

Putin sebelum ini berkata dasar untuk mengekang dan melemahkan Rusia merupakan strategi jangka panjang Barat, manakala sekatan-sekatan yang dikenakan telah memberi tamparan hebat kepada keseluruhan ekonomi global.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement