Pengguna kini lebih berhati-hati dengan makanan yang diambil susulan peningkatan kos makanan dalam suasana ekonomi yang mencabar.

Justeru, Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2016 menawarkan platform untuk memperkenalkan kepada umum proses dan teknologi dalam industri pembuatan makanan.

Ini akan akan turut disokong pameran mesin makanan dan minuman dan pembungkusan (FOODTECH) satu komponen teknologi baharu yang diguna pakai dalam pemprosesan makanan.

Pameran itu juga akan berkongsi mengenai trend pengguna, pengurangan kos, keselamatan makanan dan memastikan kemampanan industri bagi meningkatkan keyakinan pengguna.

Menurut Pengurus Besar Sphere Exhibits Malaysia selaku penganjur MIFB Paul Ng, pameran perniagaan industri makanan dan minuman (F&B) ini memberi peluang kepada pengunjung dan peserta pameran untuk bertukar pandangan tentang pemasaran produk di pasaran antarabangsa.

"Dari segi trend makanan, Malaysia agak terkenal dengan produk pengeluar kelengkapan asal (OEM) dan ini kebanyakannya didatangkan daripada jenama buatan tempatan.

"Untuk menjadikan sesebuah jenama tempatan terkenal di mata dunia, kita perlu membina jenama itu dan memastikan ia mempunyai reputasi yang baik seperti rasa, kualiti dan pembungkusan," kata Ng dalam sidang media selepas pelancaran MIFB 2016 yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Dzulkifli Mahmud.

MIFB 2016 bakal berlangung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 27 - 29 Julai 2016.

Tarikan pengunjung

Acara tahunan kali ke-17 ini bakal menyaksikan lebih daripada 350 pempamer dari 45 negara menyertainya dan dijangka menarik 20,000 pengunjung susulan pertumbuhan peratusan pengunjung ke pameran itu pada tahun-tahun sebelumnya.

Ng pada masa yang sama berkata di samping MIFB 2016, Pameran Perdagangan Makanan Laut dan Perkinanan, Makanan Proses, Teknologi dan Rantaian Pembekalan (S&F Asia 2016) akan dianjurkan selaras dengan MIFB.

Ini kerana makanan laut dipercayai menjadi sumber protein penting bagi manusia. Ia juga merupakan jenis pengeluaran makanan yang paling pesat di dunia dan Malaysia.

"Produk buatan ikan adalah komoditi yang paling banyak diniagakan di pasaran antarabangsa dan domestik ketika ini," tambahnya.

Sementara itu Dzulkifli berkata, eksport makanan diproses meningkat 8.8 peratus pada tahun 2015 kepada RM18.02 bilion berbanding RM16.56 bilion pada tahun sebelumnya.

Lima destinasi eksport utama untuk Malaysia adalah Singapura, China, Indonesia, Australia dan Thailand.

Kata Dzulkifli bagi tahun 2016, beliau optimis prestasi itu boleh dikekalkan atau ditingkatkan jika keadaan ekonomi semakin pulih.

Mengulas mengenai MIFB, beliau berkata golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam indsutri F&B perlu mengambil peluang ini untuk mempertingkatkan kualiti produk buatan tempatan mereka untuk memastikan ia dapat menembus pasaran antarabangsa dan kekal berdaya saing.

"PKS perlu mengamalkan cara-cara inovatif untuk mengatasi cabaran ekonomi global dan salah satu daripadanya ialah dengan memanfaatkan teknologi, terutamanya e-dagang," kata Dzulkifli.