Pengimport buah boleh mohon pengecualian SST - MITI

Pada masa ini, sebahagian besar buah-buahan segar telah pun diberikan pengecualian cukai secara umum bagi menjamin sekuriti makanan negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Rakan dagang atau pengimport berhak untuk memohon pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas import buah-buahan secara terus kepada Kementerian Kewangan (MoF), kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Ringkasan AI
- Rakan dagang boleh memohon pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas import buah-buahan terus kepada Kementerian Kewangan (MoF) seperti dalam perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika Syarikat (ART) dengan Amerika Syarikat (AS).
- Sebahagian besar buah-buahan segar telah diberikan pengecualian cukai secara umum bagi menjamin sekuriti makanan negara, tetapi Malaysia mempunyai fleksibiliti untuk mengekalkan cukai dalaman seperti SST tanpa terikat dengan perjanjian ART.
- Malaysia dan AS akan menggunakan Jawatankuasa Bersama di bawah Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) sebagai platform utama untuk memantau pelaksanaan ART, termasuk komitmen pengurangan tarif dan pengiktirafan produk Malaysia.
MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan tentang sama ada rakan dagang Malaysia di bawah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) atau perjanjian perdagangan bebas (FTA) lain boleh memohon pengecualian SST ke atas import buah-buahan seperti yang diberikan kepada AS di bawah perjanjian ART.
Kementerian itu berkata, walaupun Malaysia melaksanakan pelbagai FTA termasuk CPTPP dan RCEP, komitmen tarif negara di bawah FTA berkenaan hanya bertumpu kepada penghapusan atau pengurangan duti import.
"Ia sama sekali tidak menjejaskan hak Malaysia untuk mengenakan cukai serta melaksanakan langkah-langkah dalaman.
"Justeru, kerajaan kekal mempunyai ruang dasar dan fleksibiliti sepenuhnya untuk meneruskan pelaksanaan cukai dalaman seperti SST, duti eksais dan ses termasuk memberi pengecualian di bawah sistem percukaian sedia ada, tanpa terikat dengan kewujudan ART," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai mekanisme pemantauan yang akan digunakan kerajaan untuk memastikan AS mematuhi komitmen pengurangan tarif dan pengiktirafan piawaian produk Malaysia seperti yang termaktub dalam ART.
MITI berkata Malaysia dan AS akan menggunakan Jawatankuasa Bersama di bawah Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) sebagai platform utama bagi memantau pelaksanaan ART.
"Platform ini akan digunakan untuk memastikan pemantauan menyeluruh terhadap komitmen pengurangan tarif, memudahcara halangan bukan tarif, pengiktirafan piawaian produk-produk Malaysia serta lain-lain komitmen yang telah dipersetujui dalam ART.
"Jawatankuasa tersebut dipengerusikan bersama oleh MITI dan Wakil Perdagangan AS (USTR) dengan penyertaan kementerian dan agensi berkaitan dari kedua-dua negara," katanya.
Menurut MITI, pemantauan akan dilaksanakan melalui mesyuarat berkala TIFA untuk menilai kemajuan pelaksanaan ART, serta melalui mesyuarat teknikal khusus bagi mengumpul maklumat teknikal dan data berkaitan dalam memastikan setiap komitmen dipatuhi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


