Ringkasan AI
- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menegaskan penilaian Amerika Syarikat mengenai lebihan kapasiti pembuatan Malaysia mesti disokong bukti yang telus dan khusus industri.
- FMM menyatakan tarif tambahan boleh menjejaskan daya saing eksport, mengurangkan pelaburan dan menyebabkan pengilang kehilangan pesanan serta pelanggan.
- FMM menggesa kerajaan mempergiat rundingan dengan AS dan memperkukuh penguatkuasaan bagi melindungi pengilang tulen daripada penalti tidak wajar.
KUALA LUMPUR: Sebarang penilaian oleh Amerika Syarikat (AS) mengenai lebihan kapasiti struktur dalam sektor pembuatan Malaysia perlu disertai dengan bukti yang boleh dipercayai, telus dan khusus industri, menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata prestasi eksport Malaysia dan sokongan kerajaan sahaja tidak boleh dianggap sebagai bukti lebihan kapasiti pengeluaran atau amalan perdagangan yang tidak adil.
“Tarif berasaskan risiko yang meluas akan menghukum pengilang yang sah tanpa mengira pelaburan dan amalan pengeluaran mereka.
“Tarif selanjutnya boleh menghakis margin keuntungan, melemahkan daya saing eksport, mengakibatkan kehilangan pesanan dan menyebabkan pelanggan mengalih pengaturan penyumberan mereka, selain menyebabkan pengilang menangguhkan pelaburan mereka,” katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.
Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mencadangkan tarif tambahan sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia pada 25 Nov dengan memetik penemuan bahawa dasar perindustrian dan amalan pembuatan Malaysia menyumbang kepada lebihan kapasiti struktur, yang menurut Washington memberi kesan buruk kepada perdagangan AS.
Malaysia adalah antara 14 ekonomi yang menghadapi cadangan tarif di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, bersama China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun dan Kesatuan Eropah, dengan kadar cadangan antara 15 hingga 35 peratus.
Lee berkata kejayaan sesebuah negara dalam mengembangkan sektor pembuatannya, menarik pelaburan dan eksport yang semakin meningkat tidak seharusnya dilihat sebagai bukti amalan perdagangan yang tidak adil tanpa mewujudkan hubungan langsung antara polisi, kapasiti pengeluaran yang berlebihan dan kemudaratan kepada rakan dagang.
“Prestasi eksport Malaysia mahupun kewujudan sokongan kerajaan tidak boleh, secara berasingan, membuktikan bahawa kapasiti pengeluarannya adalah berlebihan atau daya saingnya dicapai melalui amalan perdagangan yang tidak saksama,” katanya.
Lee menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), untuk mempergiatkan penglibatan dengan AS bagi mencabar asas penemuan, meminimumkan pendedahan tarif selanjutnya dan melindungi akses pasaran di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART).
“Rundingan Malaysia mesti disokong oleh bukti konkrit sejauh mana pembiayaan sektor swasta, bantuan kewangan kerajaan sebenar yang diterima oleh pengilang dan pertimbangan komersil memacu keputusan pelaburan serta pengeluaran,” katanya.
Lee juga meminta kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan Bahagian XA Akta Kastam 1967 bagi mengukuhkan penguatkuasaan terhadap salah nyata asal Malaysia dan memastikan pengilang tulen tidak dikenakan penalti disebabkan amalan perdagangan yang tidak telus.
FMM akan menjalankan penilaian industri dan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menangani penemuan khusus USTR.
“FMM akan membuat penyerahan rasmi semasa proses ulasan awam USTR, disokong oleh bukti industri dan analisis undang-undang, untuk memastikan realiti komersial sektor pembuatan Malaysia telah diwakili dengan tepat dan dinilai secara adil,” kata Lee.
-- BERNAMA