Skip to main content

Bisnes

Penilaian menarik pacu belian, Bursa Malaysia ditutup tinggi

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, Indeks FBM KLCI meningkat 4.10 mata atau 0.24 peratus kepada 1,683.63 daripada 1,679.53 ketika ditutup semalam. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kaunter saham mewah terpilih yang mencatatkan dagangan dengan penilaian menarik mendorong Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Jumaat.

Prestasi itu direkodkan bursa tempatan meskipun sentimen pasaran masih waspada susulan perkembangan di Asia Barat, turun naik harga minyak mentah dan ketidaktentuan prospek kadar faedah global.

Pada 5 petang, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.10 mata atau 0.24 peratus kepada 1,683.63 daripada 1,679.53 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 5.34 mata lebih tinggi kepada 1,684.87 dan bergerak antara 1,679.72 hingga 1,685.39 sepanjang sesi dagangan.

Lingkungan pasaran adalah suram apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 533 berbanding 479, manakala 561 kaunter tidak berubah, 1,130 kaunter tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.79 bilion unit bernilai RM2.31 bilion daripada 3.32 bilion unit bernilai RM2.88 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI bergerak dalam julat kecil dan ditutup tinggi sedikit namun jumlah dagangan berkurangan.

Beliau berkata pergerakan itu sejajar dengan pasaran ekuiti serantau yang kebanyakannya ditutup tinggi, disokong keyakinan terhadap kemungkinan perkembangan positif hubungan Amerika Syarikat-Iran serta peningkatan semula saham teknologi dan pengeluar cip.

“Di peringkat domestik, aktiviti dagangan kekal sederhana apabila pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat berikutan jualan berterusan oleh pelabur asing serta ketiadaan pemangkin pasaran yang kukuh.

“Pada masa sama, penilaian menarik dalam beberapa kaunter saham mewah terpilih terus menggalakkan pembelian pada harga murah dan seterusnya memberikan sokongan kepada pasaran secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM10.72, Public Bank menokok lima sen kepada RM4.83, Tenaga Nasional melonjak 12 sen kepada RM14.42, CIMB naik sembilan sen kepada RM7.39 dan IHH Healthcare menambah 11 sen kepada RM8.78.

Bagi saham aktif, Zetrix AI tidak berubah pada 81 sen, Top Glove turun 2.5 sen kepada 80.5 sen, AirAsia X naik enam sen kepada RM1.20, Capital A kekal pada 40 sen dan Dagang NeXchange menokok 1.5 sen kepada 36 sen.

Antara saham paling untung, Nestle melonjak RM1.10 kepada RM95.60, Fraser & Neave meningkat 94 sen kepada RM26.74, Ajinomoto naik 58 sen kepada RM15.30 manakala Petronas Dagangan menambah 48 sen kepada RM18.20.

Antara kaunter paling rugi, Paragon Union susut RM1.39 kepada RM3.27, Batu Kawan berkurangan 96 sen kepada RM19.84, Petronas Chemicals turun 46 sen kepada RM5.34, manakala Unisem dan Kuala Lumpur Kepong masing-masing menguncup 18 sen kepada RM4.60 dan RM20.76.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 21.02 mata kepada 12,474.62, Indeks FBM Top 100 naik 17.51 mata kepada 12,315.94, manakala Indeks FBM Emas Syariah susut 21.44 mata kepada 12,422.30.

Indeks FBM Mid 70 berkurangan 28.27 mata kepada 17,884.14 dan Indeks FBM ACE turun 3.09 mata kepada 4,668.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 140.69 mata kepada 19,644.36, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.55 mata kepada 196.93, Indeks Tenaga berkurangan 9.49 mata kepada 775.37 dan Indeks Perladangan menguncup 53.75 mata kepada 8,752.08.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.45 bilion unit bernilai RM2.02 bilion daripada 1.68 bilion unit bernilai RM2.53 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran turun kepada 888.91 juta unit bernilai RM129.37 juta daripada 1.07 bilion unit bernilai RM172.98 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE sebanyak 447.1 juta unit bernilai RM160.05 juta berbanding 562.41 juta unit bernilai RM177.14 juta pada Khamis.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 206.68 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (350.69 juta), pembinaan (91.65 juta), teknologi (285.15 juta), perkhidmatan kewangan (47.93 juta), hartanah (125.43 juta), perladangan (19.25 juta), amanah pelaburan hartanah (28.27 juta), dana tertutup (21,800), tenaga (97.91 juta), penjagaan kesihatan (105.85 juta), telekomunikasi dan media (33.68 juta), pengangkutan dan logistik (28.33 juta), utiliti (35.18 juta) serta amanah perniagaan (12,100).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement