NIBONG TEBAL: Jabatan Penjara berhasrat memperluas pelaksanaan Program Kompas Sejahtera ke seluruh institusi penjara di negara ini bagi memperkasakan institusi kebapaan dalam sistem pemulihan prospek.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata program itu bertujuan melengkapkan prospek dengan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran untuk kembali memainkan peranan sebagai bapa, suami serta anggota masyarakat yang bertanggungjawab selepas dibebaskan.
“Saya berharap pelaksanaan modul ini tidak terhenti di Penjara Seberang Perai sahaja, sebaliknya diperluas kepada semua prospek di institusi penjara seluruh negara.
“Program ini juga menjadi perintis dalam usaha memperkasakan institusi kebapaan sebagai sebahagian daripada sistem pemulihan Jabatan Penjara Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Kompas Sejahtera Jabatan Penjara Malaysia 2026 di Kompleks Penjara Seberang Perai di sini pada Jumaat.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim.
Rosoman berkata program berkenaan memberi tumpuan kepada pembentukan jati diri, hala tuju kehidupan, tanggungjawab sebagai bapa, pengurusan diri dan hubungan kekeluargaan yang harmoni, sekali gus membantu mengurangkan risiko pengulangan jenayah.
Beliau berkata sebanyak 224 prospek lelaki dari Penjara Seberang Perai mendapat manfaat daripada program itu yang turut melibatkan 30 fasilitator dalam kalangan pegawai dan petugas institusi penjara Zon Utara meliputi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.
Pelaksanaan program, katanya hasil kerjasama Jabatan Penjara, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyediakan Modul Kompas Masa Depan dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyumbangkan Modul Kebapaan.
Beliau berkata Jabatan Penjara turut berhasrat menggunakan kedua-dua modul itu secara berterusan bagi memperkukuh pendekatan pemulihan yang menekankan pembangunan diri dan kesejahteraan keluarga, selain menyambut baik cadangan supaya kemahiran dan kepakaran fasilitator program berkenaan diiktiraf melalui pensijilan.
Beliau dalam pada itu berkata kejayaan pemulihan prospek diukur melalui perubahan positif dari segi sikap, pemikiran dan tingkah laku, selain keupayaan mereka membina semula kehidupan selepas dibebaskan.
“Jabatan Penjara akan terus memperkukuh pemulihan yang bukan sahaja berfokus kepada disiplin dan keselamatan, tetapi juga pembangunan insan, pengukuhan institusi keluarga dan persediaan prospek untuk kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA