WASHINGTON DC: Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin mengalu-alukan keputusan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja dengan kerajaan Malaysia bagi menangani isu dakwaan buruh paksa.

Zuraida berkata, ia adalah langkah wajar bagi menyelesaikan isu berkaitan komoditi negara khususnya minyak sawit dan getah.

Beliau berkata, kebanyakan dakwaan buruh paksa yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan berkepentingan lain, tidak disahkan oleh pihak berkuasa AS.

"Namun tindakan ke atas produk Malaysia seperti minyak sawit dan produk minyak sawit telah diambil dan ini merupakan langkah yang kurang adil kepada industri komoditi negara kita.

"Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memantau dan mencegah buruh paksa dengan terus komited untuk hapuskan buruh paksa dan buruh kanak-kanak melalui ratifikasi Konvensyen Asas Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) No. 29 (Buruh Paksa) dan Konvensyen No.182 (Worst Forms of Child Labour)," katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida turut menzahirkan penghargaan kepada kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan kerana mendapat komitmen daripada CBP untuk menubuhkan jawatankuasa kerja itu semasa lawatannya ke AS yang sedang berlangsung.

Beliau berkata, kementerian akan melakukan perkara susulan lebih dekat dengan pihak berkuasa AS demi mencari penyelesaian segera.

"Saya juga akan mengadakan beberapa mesyuarat penting dan saya yakin resolusi yang baik boleh dicapai dalam tempoh terdekat," katanya.

Di samping itu katanya, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen No.98 (Perundingan Bersama), Konvensyen No.100 (Imbuhan Sama Rata) dan Konvensyen No.138 (Umur Minimum) dan Konvensyen no.131 (Gaji Minimum).

"Konvensyen-konvensyen ini menyediakan panduan dalam menentukan kewajipan Malaysia berkenaan dengan perlindungan hak pekerja asing.

"Pada masa ini, Malaysia juga telah terlibat dalam Projek BRIDGE dengan ILO, bertujuan menyokong usaha dalam memerangi buruh paksa di bawah Protokol 29 (Protokol tambahan kepada Konvensyen 29) sebagai panduan tentang langkah-langkah untuk menghapuskan semua bidang buruh paksa (pencegahan, perlindungan terhadap mangsa dan akses kepada keadilan).

"Malaysia juga telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai The Labour Situation in Palm Oil Plantation Sector in Malaysia pada tahun 2018. Dapatan kajian ini telah dihantar ke Jabatan Buruh Amerika Syarikat (US DOL) dan diterbitkan sebagai dokumen awam," katanya.

Tambahnya, pada 19 November 2021, Malaysia juga bersetuju untuk meratifikasi Protokol ILO 29 yang merupakan Protokol 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa, 1930, serta penyertaan Malaysia sebagai negara Pathfinder di bawah SDG Alliance 8.7 sebagai sebahagian usaha berterusan usaha kerajaan membasmi buruh paksa di Malaysia.

Katanya, kerajaan melalui kementerian akan terus memastikan industri komoditi negara yang merupakan antara penyumbang utama kepada pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 akan terus dilindungi dari propaganda mengelirukan dari pelbagai pihak.

"Saya juga ingin menyeru agar semua rakyat Malaysia bersama kementerian perusahaan dan perladangan komoditi dalam usaha menentang kempen anti-sawit dan terus mempromosi kebaikan minyak sawit Malaysia yang penuh kebaikan," katanya. - DagangNews.com