KUALA NERUS: Penyata hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi 2022 akan dibentangkan selewat-lewatnya hujung Jun ini.

Pengerusi Felda Tan Sri Idris Jusoh berkata pihaknya kini dalam proses mengemas kini dan menambah baik keupayaan sistem serta pengurusan maklumat hutang bagi membolehkan peneroka mendapat maklumat penyata yang tepat.

"Proses menaik taraf dan menambah baik sentiasa dilakukan. Untuk penyata akhir 2022 akan dibentangkan sepenuhnya selewat-lewatnya akhir Jun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penutup Felda Robotic Challenge 2023 (FRC23) di sini hari ini.

Menurutnya selepas ini para peneroka boleh mengakses penyata tersebut secara dalam talian untuk mendapatkan maklumat masing-masing.

Sementara itu, 43 sekolah rendah dan menengah dalam wilayah Felda seluruh negara menyertai pertandingan FRC23 yang bertujuan memantapkan kemahiran, kreativiti dan penguasaan generasi baharu Felda dalam dunia robotik.-- LAGI

Sepuluh sekolah terpilih ke peringkat akhir FRC23 yang akan berlangsung sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2023 pada Julai ini, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chemplak, SK LKTP Bukit Besar, SK Lepar Utara, SK Kemendor, SK Sahabat 4, SK Kemahang 3, SK Felda Batu 8, SK UKTP Bukit Sagu 1 dan SK Sri Chiku 1.

Idris berkata setakat kini, 71 daripada 270 sekolah rendah dan menengah dalam Felda telah menubuhkan kelab robotik di bawah Projek Sekolah Felda Digital Maker Hub (FDMH) yang dimulakan tahun lepas.

"Kita sasarkan kesemua 270 sekolah dalam wilayah Felda akan melaksanakan inisiatif FDMH tahun depan.

"Kita mahu melahirkan generasi baharu Felda yang mempunyai kemahiran sains dan teknologi yang tinggi, setanding dengan masyarakat lain di luar sana," katanya.-- BERNAMA